KOTA TINGGI – Johor mempunyai 16 pintu masuk merangkumi laluan udara, darat dan laut sekali gus menjadikan negeri ini antara yang paling mudah diakses di negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, kewujudan pelbagai pintu masuk strategik ini memberi kelebihan besar kepada Johor dalam merancakkan sektor pelancongan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan Johor berkata, ini termasuk menyokong pertumbuhan ekonomi setempat khususnya di kawasan timur negeri tersebut.
“Johor secara keseluruhannya mempunyai jaringan pintu masuk yang lengkap melibatkan udara, darat dan laut. Ini memudahkan pergerakan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menyambut Ketibaan Pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia dan Johor yang berlangsung di Terminal Feri Tanjung Belungkor, Pengerang di sini semalam.
Katanya, tiga pintu masuk utama itu berada di Pengerang dekat sini iaitu Jeti Tanjung Belungkor, Jeti Tanjung Pengelih dan Terminal Feri Desaru Coast.
Aznan berkata, Desaru adalah antara daya penarik dan dengan promosi berterusan dijangka terus menerima sambutan pelancong di mana hampir setiap hujung minggu Pengerang dipenuhi pengunjung.
“Tarikan utama di sepanjang Desaru seperti pantai peranginan, resort bertaraf antarabangsa serta produk pelancongan berasaskan alam semula jadi menjadi faktor utama peningkatan kemasukan pelancong ke kawasan tersebut.
“Infrastruktur pengangkutan yang baik turut menyumbang kepada pengalaman perjalanan yang lebih selesa dan efisien. Pengerang memainkan peranan penting sebagai pintu masuk pelancong melalui laut,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mempergiat usaha promosi pelancongan membabitkan kerjasama pelbagai agensi sempena Tahun Melawat Johor 2026 (VJY2026).
Jelasnya, selain program menyambut ketibaan pelancong di pintu masuk negeri, kerajaan negeri juga akan menyalurkan maklumat berkaitan pelancongan Johor kepada media massa.- MalaysiaGazette
















