BALIK PULAU – Hari pertama sesi persekolahan 2026 bagi 309 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh di sini diserikan dengan kehadiran maskot Tom & Jerry serta seekor katak yang menunggu di pintu masuk sekolah pagi ini.
Maskot Tom & Jerry yang digayakan Guru Pendidikan Islam, Ustaz Muhammad Anis Ab Ghani dan guru Bahasa Melayu, Muhammad Azhan bin Mohamad Shuhaimi manakala maskot katak pula oleh pelajar Tahun 3, Muhammad Haniff Fitri Muhammad Anis.
Ketiga-tiga maskod berkenaan mula menyambut murid di perkarangan sekolah itu seawal 6.50 pagi dan lambaian mesra mereka menarik perhatian kanak-kanak terutamanya murid baharu yang menjejaki alam persekolahan buat pertama kali.
Guru Besar sekolah tersebut, Noor Hafiza Mohd Johari berkata, sambutan berkenaan diserikan dengan buku dan pensil sebagai galakan kepada segelintir murid yang hadir awal ke sekolah itu.
Katanya, acara itu menjadi tradisi sekolah terbabit sejak dua tahun lalu sebagai menyuntik semangat murid untuk memulakan hari pertama sesi persekolahan baharu.
“Inisiatif ini dilaksanakan bagi menaikkan semangat murid terutama selepas bercuti selain mewujudkan suasana selesa dan seronok untuk murid baharu seperti pra sekolah dan tahun satu memulakan hari pertama mereka ke sekolah ini.
“Alhamdulillah murid nampak seronok, memang tujuan sambutan ini untuk menghilangkan rasa takut mereka datang ke sekolah.
“Malah, ibu bapa juga gembira anak mereka diraikan seumpama itu,” katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad meninjau sekolah berkenaan sempena hari pertama sesi persekolahan bagi 2026.
Untuk rekod seramai 19,705 murid Tahun Satu dilaporkan memulakan persekolahan di Pulau Pinang bagi sesi persekolahan 2026 hari ini.
Jumlah iu mencatatkan penurunan sebanyak 2.44 peratus atau 492 murid berbanding keseluruhan pendaftaran murid pada tahun lalu. – MalaysiaGazette
















