Aminuddin menyempurnakan pelancaran Program Jom Ke Sekolah Amalan Sekolah Penyayang di Dewan Lestari SK Dato Onn Jaafar, Simpang Renggam, Kluang, hari ini.

KLUANG – Sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak akan dibuka semula selepas keadaan pulih dan disahkan selamat oleh pihak berkuasa berkaitan.

Penangguhan pembukaan sekolah yang terbabit terlibat dibuat berikutan sebahagian murid masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata, laporan terkini mendapati kebanyakan sekolah yang terkesan banjir berada di sekitar Kuching serta beberapa daerah lain di Sarawak.

“Apabila keadaan kembali kepada sediakala kita akan laksanakan sesi persekolahan dan sekolah dibenarkan beroperasi semula. KPM berharap keadaan banjir pulih sepenuhnya dalam masa terdekat agar sesi persekolahan dapat dilaksanakan semula seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Program Kembali ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Onn Jaafar, Simpang Renggam di sini hari ini.

Sebelum itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli dilaporkan berkata, sebanyak 26 sekolah di negeri itu tidak dapat memulakan operasi pada hari pertama sesi persekolahan hari ini kerana masih terjejas banjir.

Lapan sekolah di Sarawak kini dijadikan PPS melibatkan tujuh sekolah di Serian dan satu di Selangau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast