SHAH ALAM – Ibu bapa akan diwajibkan menandatangani Polis Perlindungan Murid yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai usaha menangani isu buli di sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, polisi itu dalam masa yang sama melibatkan aku janji memelihara dan melindungi anak-anak.
“Ini memang komitmen kita sepanjang masa. Ini antara perkara baru yang kita perkenalkan dan manual buku Sekolah Sejahtera dalam peringkat akhir untuk kita kongsikan kepada ibu bapa dan masyarakat,” katanya ketika ditemui di Majlis Pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ladang Regent, Elmina hari ini.
Tegas Fadhlina, KPM sentiasa meneruskan komitmen untuk membanteras perbuatan buli di sekolah.
“Saya sudah tegaskan dalam amanat saya kita tidak kompromi soal buli dan tanggungjawab itu mesti dipikul bersama untuk memastikan sekolah sejahtera,” katanya lagi.
Sebelum ini, Fadhlina berkata, KPM telah memuktamadkan Dasar Perlindungan Murid yang akan dikuatkuasakan di semua sekolah di seluruh negara seiring pembukaan semula sesi persekolahan.
Jelasnya, pelaksanaan dasar itu melibatkan semua pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan murid, termasuk pihak sekolah, ibu bapa, komuniti serta agensi penguatkuasaan.-MalaysiaGazette
















