Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas menegaskan sudah tiba masanya parti itu diberi mandat untuk mengemudi Perikatan Nasional (PN) sekiranya gabungan itu benar-benar serius mahu bangkit dan menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN membuka ruang penting untuk penstrukturan semula kepimpinan gabungan itu secara lebih realistik dan berpaksikan kekuatan sebenar.

“Alhamdulillah satu keputusan yang cukup baik daripada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang menerima dengan terbuka hasrat Tan Sri Muhyiddin untuk berundur daripada posisi Pengerusi PN,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, keputusan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai satu krisis sebaliknya peluang untuk PN bergerak ke hadapan dengan kepimpinan yang lebih kukuh dan diyakini akar umbi.

“PN Insya-Allah akan bergerak ke hadapan,” katanya.

Bahkan, beliau secara terbuka meminta kepercayaan penuh diberikan kepada Pas untuk memimpin gabungan itu selari dengan kedudukan parti berkenaan sebagai tunjang utama PN dari segi jumlah kerusi Parlimen, sokongan rakyat dan kekuatan jentera.

“Berikan Pas peluang untuk mengemudi teraju PN menghadapi PRU16. Kita bangkit mara ke Putrajaya,” tegasnya.

Malam tadi, Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk menghormati keputusan Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, sekali gus mengesahkan peralihan fasa kepimpinan dalam gabungan itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Bersatu mengambil pendirian untuk kekal sebagai rakan berprinsip, konsisten dan setia dalam PN malah menegaskan kerjasama di dalam PN itu akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast