KUALA LUMPUR – UMNO perlu mengekalkan prestasi dan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang akan berlangsung dalam masa terdekat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kemenangan itu penting sebagai suntikan semangat untuk UMNO melangkah ke Pilihan Raya Ke-16 (PRU-16).
Menurut beliau, UMNO tidak boleh mengulangi kesilapan ketika menangguhkan PRU-15 selepas kemenangan selesa pada PRN Melaka dan Johor yang menyebabkan momentum sokongan rakyat terhadap parti itu merosot seterusnya kehilangan banyak kerusi.
“Dengan kemenangan besar di PRN Melaka dan Johor, akan membawa kepada kemenangan besar pada PRU-16.
“Jadi, jangan ulangi kesilapan seperti dulu ketika kita tangguhkan PRU-15 yang menyebabkan kita tewas sedangkan kita menang besar pada PRN Melaka dan Johor,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya berkenaan sentimen akar umbi berhubung kerjasama UMNO dengan DAP, Ahmad Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman berkata, perkara itu perlu dilihat dari sudut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya sebuah kerajaan dapat dibentuk.
“Kita berada dalam sebuah gabungan parti untuk mewujudkan kestabilan negara dan ini juga seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong, jadi kita kena ikut,” katanya.
Ditanya lanjut berkenaan kerjasama dengan DAP pada masa depan, Ahmad Said berkata, perkara itu akan ditentukan pucuk pimpinan UMNO apabila tiba masanya. – MalaysiaGazette
















