Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) masih menunggu maklum balas kerajaan Nepal berhubung kesediaan menerima pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Malaysia bagi membantu operasi susulan banjir besar yang melanda negara itu.

Komander SMART Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB 1) Abdul Manaf Che Isa berkata pasukan itu telah bersiap sedia sepenuhnya bagi melaksanakan misi berkenaan.

“Sehingga pagi ini, kita masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Nepal mengenai kesediaan menerima pasukan (SAR) dari Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Beliau berkata penyelarasan dengan Kementerian Luar (KLN), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan dilakukan bagi tujuan atur gerak pasukan ke Nepal.

“Susulan kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berkaitan dengan penghantaran pasukan SMART ke Nepal, pada dasarnya pasukan telah pun bersiap sedia sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Abdul Manaf meninjau persiapan akhir kontinjen SMART diketuai oleh Kapten Plaveanus Bernard bersama-sama 112 keanggotaan yang menyertai acara perbarisan dan perarakan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Semalam, Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Kerajaan MADANI memutuskan untuk menghantar Pasukan SMART ke Nepal bagi membantu operasi SAR susulan bencana banjir yang melanda negara itu.

Anwar berkata pasukan SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.

Beliau berkata Malaysia juga akan menyalurkan sumbangan sebanyak USD1 juta kepada Nepal, bagi membantu mangsa yang terjejas serta menyokong usaha pemulihan pascabencana.

Wisma Putra pada Sabtu, memaklumkan jumlah rakyat Malaysia yang dilaporkan tidak dapat dihubungi kekal 36 orang di China dan 55 orang di Nepal susulan banjir kilat dahsyat dan tanah runtuh di Daerah Rasuwa, Nepal yang berlaku pada 26 Ogos.

Agensi Anadolu hari ini melaporkan angka korban akibat banjir kilat dan tanah runtuh dahsyat di Nepal serta wilayah Tibet di China meningkat kepada 804 orang, manakala hampir 3,300 lagi masih hilang. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here