KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menggesa Barisan Nasional (BN) supaya mempertimbangkan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Gesaan itu dibuat susulan kerjasama itu didakwa gagal memberi manfaat politik kepada parti serta semakin menjauhkan sokongan orang Melayu.
Jurucakap Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang juga Ketua Penerangan Wilayah Persekutuan, Nasrun Nasaruddin berkata, realiti keputusan pilihan raya kebelakangan ini menjadi petunjuk jelas bahawa kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) tidak memperkukuh UMNO.
“UMNO telah dua kali kalah dalam PRU. Itu hakikat yang tidak boleh disorok. Kekalahan ini sepatutnya menjadi pengajaran untuk kita berani membuat keputusan yang jelas demi pemulihan parti,” katanya ketika berbahas pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO.
Menurut Nasrun, Pemuda UMNO sejak dahulu bukan sayap yang tunduk tanpa soal, sebaliknya berperanan sebagai pendesak demi kepentingan rakyat, bangsa dan masa depan parti.
“Banyak dasar yang memberi manfaat kepada rakyat lahir daripada desakan Pemuda UMNO. Antara contoh jelas ialah penghapusan cukai jalan motosikal bawah 250cc yang kini dinikmati jutaan rakyat, majoritinya orang Melayu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan setiap keputusan politik mempunyai kos, dan kos paling mahal ialah apabila parti hilang arah, hilang sokongan serta tidak lagi berani bercakap benar kepada akar umbi.
Mengulas prestasi pilihan raya negeri, Nasrun berkata kerjasama UMNO bersama PH dalam PRN enam negeri serta PRN Sabah gagal diterjemahkan kepada kemenangan kerusi.
“Di Selangor kita hanya menang dua daripada 12 kerusi, di Pulau Pinang dua daripada 26 kerusi, dan di Sabah hanya enam daripada 45 kerusi. Data ini tidak menipu. Ini isyarat jelas penolakan undi Melayu terhadap UMNO apabila kita bersama PH,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan kerjasama dengan DAP telah mewujudkan persepsi negatif yang menjejaskan keyakinan penyokong tradisi UMNO, termasuk beberapa isu mutakhir yang menyentuh sensitiviti parti.
Dalam perkembangan berkaitan Wilayah Persekutuan, Nasrun berkata Pemuda UMNO Wilayah memandang serius pelantikan kepimpinan pentadbiran Wilayah yang disifatkan meminggirkan peranan UMNO.
“Sehingga hari ini, tidak ada satu pun pertemuan rasmi antara Menteri Wilayah dan pimpinan UMNO Wilayah Persekutuan. Ini menimbulkan persoalan besar tentang siapa yang akan membela kepentingan orang Melayu bandar,” ujarnya.
Beliau memberi amaran Kuala Lumpur berisiko melalui situasi sama seperti Pulau Pinang sekiranya UMNO terus kehilangan peranan strategik dalam pentadbiran negara.
Sehubungan itu, Nasrun mempersoalkan kebergantungan berterusan kepada PH sedangkan BN merupakan gabungan yang pernah terbukti kukuh dan stabil dalam mengurus negara.
“Namun kita juga mesti jujur mengakui BN hari ini tidak berfungsi seperti dahulu. Sebab itu Pemuda UMNO Wilayah mendesak satu bedah siasat menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca defisit sokongan pengundi Melayu, Cina dan India terhadap BN,” katanya lagi.
Menurut beliau, gesaan itu bukan berlandaskan kebencian, sebaliknya amaran awal demi kelangsungan parti.
“Pemuda berada di lapangan setiap hari, berdepan kemarahan dan kekecewaan penyokong sendiri. Kita tidak boleh terus berpura-pura seolah-olah semuanya baik-baik sahaja,” katanya.
Tegas Nasrun, Pemuda UMNO tidak menolak kerjasama politik, namun kerjasama mesti menguntungkan parti dan mengembalikan keyakinan rakyat.
“Jika kerjasama itu menghakis sokongan dan jati diri parti, keberanian untuk berundur adalah lebih bermaruah,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, beliau menegaskan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mengesyorkan agar BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan sebelum PRU16 dan memulakan pembinaan semula kekuatan BN secara tersusun dan berprinsip.
“UMNO hanya boleh bangkit jika berani membuat pilihan demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya. -MalaysiaGazette
















