Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed bercakap pada MalaysiaGazette di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Cadangan pembentukan Rumah Bangsa yang diilhamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai persediaan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, dinamika politik yang berbeza-beza sejak PRU-14 dan PRU-15 menuntut parti untuk mencari naratif baharu demi manfaat kepada rakyat khususnya orang Melayu

“Kita pun sudah belajar daripada PRU-14 dan PRU-15, semua jelas apa yang presiden maksudkan, apa sahaja tindakan UMNO, kita mendahulukan rakyat dan bukan kepentingan presiden sendiri.

“Menteri UMNO dalam Kerajaan Perpaduan menunjukkan prestasi terbaik, saya yakin rakyat dapat menilai kualiti dalam kalangan pemimpin UMNO dan akan mempertimbangkan keputusan terbaik dalam PRU16 akan datang.

“Saya yakin rakyat mampu menilai apa sahaja mesej yang disampaikan Presiden, sekali gus akan memberi manifestasi terbaik dalam PRU16 nanti,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di sini hari ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias bercakap pada MalaysiaGazette di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JANUARI 2026.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias, perselisihan faham antara institusi presiden dengan pemuda tidak membuktikan wujudnya krisis dalaman dan pertembungan ideologi di antara kedua-dua pihak.

“Saya rasa ucapan presiden itu boleh menafikan kata-kata di luar sana yang dilemparkan kononnya pemuda ini berbeza pandangan, mungkin cara presiden ini ada seni politik yang berbeza, pemuda dia terus terang.

“Ucapan presiden semalam tidak jauh beza pun dengan apa yang diungkapkan oleh pemuda dalam konvensyen khas baru-baru ini,” katanya.

Hilmi juga berkata, kehadiran Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO sebenarnya direstui presiden UMNO sendiri.

“Ini satu petanda yang baik, kita kena tengok juga keadaan sesak ketika Khairy Jamaluddin hadir ke dewan ini malah beliau pun cakap beliau hadir setelah mendapat restu daripada presiden.

“Malah Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh juga memaklumkan beliau mendapat restu untuk menjemput Khairy Jamaluddin daripada Presiden UMNO, tidak wujud dakwaan kononnnya Pemuda UMNO tidak mengikut adab berorganisasi.

“Ini bukti Presiden UMNO berjiwa besar walaupun Khairy Jamaluddin dan beliau pernah berseteru, (ia dilakukan) demi kesatuan ummah orang Melayu dan UMNo sebagai parti terbesar,” katanya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, Al Hafizi Abu Bakar bercakap pada MalaysiaGazette di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 JANUARI 2026.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, Al-Hafizi Abu Bakar pula menafikan dakwaan kononnya institusi Presiden UMNO dan pemuda tidak sealiran.

“Saya sanggah perkara itu kerana saya percaya mereka ini selalu berbincang. Apa juga anak nak buat, pasti ayah tahu dan pasti dia berbincang dengan ayah dia terlebih dahulu sebelum dia nak buat keputusan,” katanya.

Selain itu, Al-Hafizi menyifatkan tindakan Dr Akmal yang melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka sebagai berjiwa besar dan bukan sahaja berani bercakap sahaja.

“Dr Akmal menunjukkan jiwa besar kepada parti-parti yang mengatakan beliau ini tidak berani untuk membuat keputusan yang tuntas, hanya pandai bercakap, akhirnya beliau menunjukkan jiwa besar.

“Saya pasti dan percaya Presiden akan pastikan Dr Akmal akan diberikan pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Katanya lagi, desakan Pemuda UMNO kepada Kerajaan Perpaduan itu sangat subjektif sama ada keluar secara end bloc sebagai pembangkang ataupun kekal dalam kerajaan.

“Kita membangkang apa juga perkara, isu dan tajuk melibatkan gangguan atau cubaan untuk melanggar garis merah kita terutama dalam isu Perlembagaan, isu Melayu, Bahasa Melayu dan agama Islam.

“Kita dalam Kerajaan Perpaduan bukan sebagai lembu dicucuk hidung tetapi kita berada dalam kerajaan untuk menunjukkan potensi kekuatan kita, kecekapan kita dalam kerajaan

“Jika melanggar garis merah yang ditetapkan pada awal perjanjian kita membentuk kerajaan perpaduan, kita akan tentang sehabis-habisnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast