KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hubungan dengan parti komponen BN khususnya melibatkan MIC sebagai `ribut dalam cawan yang sudah selesai’.
Menurut Presiden UMNO itu, ia selepas wakil MIC turut menghantar wakil pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang dihadiri oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.
Malah, kata beliau, dalam sesi pre–council sempena sidang Dewan Rakyat membabitkan Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Rakyat BN pagi ini, Saravanan turut hadir bagi mewakili MIC.
“Ini memperlihatkan bahawa ribut di dalam cawan itu telah selesai,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) kali ke-72 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Dalam Perhimpunan Agung MIC ke-79 pada November lalu, Saravanan membentangkan usul supaya parti itu keluar daripada BN dan memohon secara rasmi untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
Usul-usul tersebut dibahas, namun tiada undian dijalankan kerana mesyuarat bersetuju untuk menyerahkan keputusan berkenaan kepada kepemimpinan tertinggi MIC.
Perkembangan itu disebabkan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang didakwa tidak adil oleh UMNO, khususnya selepas kerjasama politik BN dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung PPP kali ke-72, Ahmad Zahid turut mengumumkan PPP kini merupakan anggota penuh parti komponen BN berdasarkan surat rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bertarikh 25 November lalu.
Menurutnya, ia merupakan berita gembira bukan sahaja buat PPP, tetapi juga BN yang kini memiliki lima parti politik teras termasuk UMNO; MCA; MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
“Ini memperlihatkan ketenangan dan ketenteraman yang wujud di dalam BN kerana semua parti komponen yang berada di dalamnya memperlihatkan kesepaduan,” katanya.
PPP ditubuhkan pada 1953 dan merupakan parti komponen BN sejak 1974.
Bagaimanapun, perebutan kepimpinan PPP pada 2018 membawa kepada pembatalan pendaftaran PPP, sekali gus menyebabkan parti itu terkeluar daripada BN. – MalaysiaGazette















