Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan menggunakan talian sindiket penipuan (scammer) semata-mata untuk menghubungi keluarga di tanah air bagi meminta diselamatkan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan, mangsa lelaki berusia 27 tahun itu dikenali sebagai Sulaiman dipercayai ditahan selepas dibawa ke Kemboja dan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ oleh sindiket penipuan dalam talian.

Menurutnya, mangsa menggunakan peluang ketika menjalankan tugasan penipuan untuk menyelitkan mesej ringkas kepada ahli keluarganya, memaklumkan keadaan dirinya yang berada di bawah pemantauan ketat sindiket.

“Sulaiman terpaksa menyamar sebagai scammer dan menggunakan skrip yang diberikan, namun dalam masa sama menyelitkan ayat-ayat tertentu bagi memberitahu keluarganya bahawa dia dalam bahaya dan memerlukan bantuan segera,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hishamuddin berkata, mangsa dipercayai berada di kawasan Sihanoukville namun lokasi sebenar masih belum dapat dikenal pasti, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat.

“Keluarga memerlukan maklumat lokasi yang tepat kerana pelan penyelamatan sudah ada. Namun tanpa pengesahan lokasi sebenar, usaha ini menjadi amat mencabar. Sebab itu bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat amat diperlukan,” ujarnya.

Beliau berkata, mangsa sebelum ini memaklumkan kepada keluarganya dia ingin mencari pekerjaan di Singapura, sebelum berjaya menghubungi keluarga beberapa bulan kemudian dan mendedahkan dirinya telah dibawa ke Kemboja serta dipaksa bekerja dengan sindiket penipuan.

Menurut Hishamuddin, Sulaiman antara dua rakyat Malaysia yang kini dipercayai masih terkandas di Kemboja di bawah kawalan sindiket pemerdagangan manusia dan sukar dihubungi.

“MHO merayu kepada Kedutaan Malaysia di Kemboja, Kementerian Dalam Negeri Kemboja serta Pasukan Petugas Polis Kemboja agar membantu usaha menyelamatkan kedua-dua mangsa ini secepat mungkin,” katanya.

Mengulas kes kedua, beliau berkata ia membabitkan seorang lelaki berusia 44 tahun yang berlepas ke Kemboja pada Februari 2024 untuk bekerja dalam sektor pembinaan, namun kemudiannya gagal dihubungi dalam tempoh panjang.

“Mangsa memaklumkan kepada keluarganya bahawa dia ditahan di sebuah kasino dan diancam akan dibunuh sekiranya cuba menghubungi keluarga atau sekiranya laporan polis dibuat,” katanya.

Hishamuddin berkata, mangsa terbabit mempunyai tiga orang anak kecil dan keadaan keluarganya kini amat terdesak, sekali gus memerlukan campur tangan segera pihak berkuasa Malaysia bagi membawa pulang mangsa ke tanah air.

“MHO akan terus berusaha dan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan, namun bantuan pihak berkuasa amat penting bagi memastikan keselamatan mangsa dan kejayaan operasi menyelamat,” jelasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast