Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas menolak sebarang bentuk perpaduan yang dibina atas kepentingan politik sempit dan ciptaan manusia, sebaliknya hanya bersama perpaduan yang berpaksikan ketetapan Allah.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pelbagai gagasan perpaduan yang diangkat hari ini dilihat gagal kerana dibina atas asas kaum, sempadan, kepentingan kuasa dan ekonomi yang tidak selari dengan ketetapan Pencipta.

“Semuanya tidak bersifat holistik, memenuhi kehidupan manusia yang berbeza dengan makhluk yang lain, gagal mengikut kenyataan ilmu kemasyarakatan dan kenyataan sejarah. Malah, gagal mengikut ketetapan Allah Penciptanya.

“Adapun Islam pula melihat hanya ada dua pendekatan sahaja dalam konsep perpaduan umat manusia mengikut ketetapan Allah. Hendaklah dipilih antara dua, sama ada perpaduan yang diwajibkan atau perpaduan yang diharamkan,” katanya dalam kenyataan Minda Presiden, hari ini.

Kenyataan Abdul Hadi itu didakwa merujuk kepada cadangan penyatuan orang Melayu menerusi gagasan kolaborasi agung yang dizahirkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid sebelum ini, pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU2025), mengesahkan berlakunya pertemuan dengan pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung cadangan tersebut.

Menurut beliau, perjumpaan yang disifatkan secara tidak langsung itu turut melibatkan beberapa parti politik Melayu lain.

Ketika menggulung ucapan dasar pada Sabtu, Ahmad Zahid memaklumkan hasrat UMNO untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan dikenali sebagai kolaborasi agung.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan Pas hanya menerima konsep perpaduan yang berpegang teguh dengan tali Allah dan menolak sebarang usaha menyatukan pihak yang bertentangan dengan prinsip kebenaran.

Menurut beliau, pengalaman sejarah membuktikan perpaduan yang tidak berteraskan iman dan keadilan akhirnya akan runtuh, walaupun dihias dengan slogan indah serta nama yang kelihatan agung.

“Islam telah berjaya menangani keadaan masyarakat Arab yang paling berpecah, bermusuhan dan berperang antara satu sama lain. Satu bangsa yang paling ganas dalam kehidupannya, malah lebih liar daripada binatang yang tidak berakal kerana kejahatannya yang menyalahgunakan akal.

“Pendekatan Islam berkonsepkan tiada paksaan dengan mengakui hak masing-masing dalam beragama, berbangsa, berbudaya dan juga berkonsepkan adil kepada semua,” katanya lagi.

Abdul Hadi turut menyindir gagasan perpaduan yang gagal mengurus perbezaan dalaman sehingga mencetuskan perbalahan sesama sendiri, sambil menegaskan perpaduan sedemikian hanya mengundang kerosakan yang lebih besar.

Beliau mengibaratkan perpaduan ciptaan manusia sebagai sebuah bahtera yang rosak, yang walaupun dibesarkan dan ditampal dari luar, namun kebocorannya semakin membesar akibat ketiadaan prinsip yang benar.

“Kita tidak boleh menaiki bahtera yang tidak boleh mengawal para penumpangnya yang bertelingkah dalam mempertahankan kepentingan masing-masing dan mempunyai hala tuju yang berbeza tanpa meraikan pihak yang berbeza atas nama tidak mahu berpecah belah.

“Nakhodanya pula tidak beristiqamah dalam menghadapi gelombang yang datang dari arah timur dan barat, dan memandu sehingga melanggar batu karang yang memecahkan bahteranya semata-mata kerana ingin meraikan perbezaan yang merosakkan atas nama perpaduan,” jelasnya.

Tambah Abdul Hadi, Pas tidak akan berkompromi dengan perpaduan yang menutup mata terhadap kezaliman, dosa dan penyalahgunaan kuasa, serta tidak sanggup menggadaikan prinsip semata-mata demi kelangsungan politik.

Sehubungan itu, beliau menegaskan perpaduan sebenar hanya boleh dicapai melalui kepimpinan beramanah dan kefahaman agama yang mendalam, bukan melalui pakatan rapuh yang dibentuk demi kuasa dan kepentingan sementara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast