Rosalam (empat dari kiri) dan Rahman (tiga dari kanan) semasa majlis menandatangani perjanjian pelesenan.

TUARAN – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluas usaha pengkomersialan hasil penyelidikannya menerusi pemeteraian satu perjanjian pelesenan bersama Recove Sdn. Bhd. bagi produk inovasi perubatan.

Perjanjian tersebut dimeterai dalam satu acara sempena penutupan siri jelajah Borneo Festival of Ideas (BFOI) 2026 Peringkat Sabah di Dewan Seri Sulaman, Tuaran baru-baru ini.

Perjanjian pelesenan tersebut ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly bagi pihak UMS dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Recove Sdn. Bhd., Ir. Ts. Abdul Rahman Bahasa bagi pihak syarikat berkenaan.

Menurut Rosalam, perjanjian tersebut melibatkan produk inovasi hasil penyelidikan Dr. Mohamed Arif Hameed Sultan, pakar bedah am dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UMS.

“Inovasi berkenaan merupakan peranti diatermi mudah alih yang dibangunkan untuk kegunaan prosedur berkhatan dan berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat industri serta pasaran.

“BFOI memberi penekanan kepada keseluruhan rantaian pembangunan inovasi, bermula daripada mengenal pasti permasalahan setempat, mencetuskan idea dan membangunkan penyelesaian, sehinggalah kepada perlindungan harta intelek dan
peluang pengkomersialan.

“Pemeteraian perjanjian pelesenan ini memperlihatkan bagaimana hasil penyelidikan universiti dapat diterjemahkan kepada aplikasi yang berpotensi untuk dikembangkan bersama industri,” jelasnya.

Program anjuran UMS bersama Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) yang bertemakan “Cetus Idea, Cipta Masa Depan” itu menghimpunkan hampir 800 inovasi daripada pelbagai kumpulan peserta sepanjang siri jelajah BFOI 2026.

Jumlah tersebut memperlihatkan potensi besar bakat mencipta dalam kalangan masyarakat Sabah, selain menunjukkan ruang yang luas untuk idea tempatan dibangunkan menjadi penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here