KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) selepas disyaki menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan, berkata suspek dicekup ketika cuba berlepas ke Dhaka, Bangladesh melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 semalam.
“Penahanan dilakukan kira-kira 4.40 petang semasa pemeriksaan di Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA Terminal 2 terhadap penumpang lelaki itu yang dijadualkan berlepas menaiki penerbangan AirAsia pukul 7.25 malam.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati individu lelaki berusia 39 tahun, pemegang pasport Bangladesh memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (ePass) yang dikepilkan di dalam pasportnya.
“Namun, setelah semakan lanjut dibuat, pas tersebut disyaki tidak sah dan palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas AKPS, susulan itu, individu tersebut telah ditahan dan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA Terminal 2 sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan AKPS KLIA bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
AKPS menegaskan komitmen berterusan dalam memperketat kawalan keselamatan sempadan negara serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan penyalahgunaan dokumen perjalanan atau pas imigresen. – MalaysiaGazette
















