PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah menerusi Kurikulum Persekolahan bermula 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia membolehkan pelajar tahun satu hingga tahun enam serta tingkatan satu, dua dan tiga diberi pendedahan dan berpeluang memilih jurusan lebih awal.
“Kementerian Pendidikan akan memastikan laluan TVET itu, STEM atau digital dalam kerangka TVET yang menyeluruh dan lebih canggih diberi ruang supaya anak-anak boleh pilih jurusan lebih awal.
“Pelajar sekolah menengah akan diberi pendedahan dan fokus kepada teknologi dan digital,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri berucap merasmikan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan memberikan peruntukan tambahan sehingga RM100 juta untuk menaik taraf dan membaik pulih bilik guru di seluruh negara.
“Kita sedar bahawa perancangan Kementerian Pendidikan untuk mengurangkan beban pentadbiran kepada guru.
“Setelah naik gaji, kita juga akan pastikan kemudahan guru bukan sahaja sekolah, bahkan bilik guru itu diperbaiki dan kita beri peruntukan tambahan RM100 juta sekarang,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pula akan melakukan reformasi pendidikan di Politeknik dan Kolej Komuniti melalui penerapan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh.
“KPT sedang merangka Akta Politeknik dan Kolej Komuniti di mana 10 Politeknik Premier akan dinaik taraf secara berterusan sepanjang tempoh perancangan pendidikan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















