PUTRAJAYA – Kerajaan akan meningkat kuota pendidikan percuma dan biasiswa melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 10,000 pelajar dalam kalangan keluarga miskin tegar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada awalnya kuota pendidikan percuma itu ditawarkan kepada 5,800 penerima sahaja yang diumumkan beliau dalam Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025.
“Pendidikan percuma ini kita mula tingkatkan, sebab itu saya telah umumkan dalam Belanjawan di peringkat awal, dalam kalangan miskin tegar sekitar 5,800 pelajar miskin tegar akan diberikan pendidikan percuma
“Sekarang saya nak umumkan jumlah ini kita akan tingkatkan melalui bantuan PTPTN kepada 10,000 pelajar kategori miskin,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri berucap merasmikan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Selain itu, kata Perdana Menteri, seramai 3,000 pelajar dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) di institut pengajian tinggi awam (IPTA), Politeknik dan Kolej Komuniti bakal dikecualikan yuran pengajian.
“Semua pelajar kategori OKU di IPTA, Politeknik, Kolej Komuniti yang berjumlah sekitar 3,000 orang akan diberikan pendidikan percuma mulai sekarang,” katanya.
Sementara itu, kata Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil alih seluruh sistem pendidikan pra universiti tingkatan enam dan matrikulasi bermula 2027.
“Ia bagi memastikan kesinambungan kurikulum dan transisi pendidikan yang lebih lancar dari peringkat pra-universiti ke ijazah sarjana muda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















