KUALA LUMPUR – Perpaduan ummah hanya boleh dibina dengan berpaut kepada tali Allah dan bukan berasaskan kontrak politik, jawatan atau usaha menyelamatkan parti yang sedang kehilangan kepercayaan rakyat.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali menegaskan, sejak awal lagi Putra berpendirian penyatuan ummah tidak wajar diterajui oleh parti atau individu yang mempunyai rekod rasuah serta kekurangan integriti.
Beliau mendakwa, UMNO hari ini bukan lagi rumah besar orang Melayu sebaliknya diibaratkan sebagai rumah lama yang bocor atapnya, reput dindingnya dan dipenuhi anai-anai politik wang akibat terlalu lama berkuasa sehingga rasuah menjadi kebiasaan.
“Realiti politik semasa tidak boleh dinafikan apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membuktikan hampir 70 peratus pengundi Melayu menyokong Perikatan Nasional (PN), dengan Pas memenangi 43 kerusi Parlimen dan Bersatu 32 kerusi.
“Sokongan itu adalah suara akar umbi kampung, masjid dan warung kopi, bukannya suara broker projek, sekali gus mencerminkan kehendak majoriti orang Melayu,” katanya dalam kenyataan sambil menyatakan sokongan penuh terhadap pandangan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta menolak sebarang bentuk penyatuan yang bersifat sementara dan tidak berteraskan nilai agama.
Mengulas kedudukan UMNO, Ibrahim menyifatkan parti itu seperti ‘ayam jantan tua’ yang kokoknya masih kuat namun taji telah patah.
Sehubungan itu katanya, Putra menolak untuk menyokong jenama lama seperti Muafakat Nasional atau Rumah Bangsa yang menurutnya hanya berfungsi sebagai talian hayat kepada kelompok berkepentingan dan individu yang berdepan kes mahkamah.
Ibrahim menegaskan, payung besar penyatuan ummah hari ini adalah Perikatan Nasional bukan gabungan rapuh yang menunggu runtuh apabila berdepan tekanan pilihan raya.
“Putra menolak sebarang helah untuk menghidupkan semula hegemoni lama serta politik feudal, elit dan kronisme keluarga. Rakyat khususnya orang Melayu tidak lagi mudah diperdaya untuk mengulangi kesilapan yang sama,” ujarnya.
Putra katanya, tidak akan bersekongkol dengan mana-mana bentuk perpaduan yang mengkhianati Islam dan mandat rakyat, sebaliknya berpegang kepada nilai bersih dan berakhlak.
Pada masa sama, Putra menyeru semua pemimpin Melayu Islam supaya mengetepikan ego dan sikap feudal serta menerima hakikat bahawa masa depan ummah kini berada di bawah payung PN yang dipimpin oleh tokoh berjiwa bersih, bersemangat patriotisme, nasionalisme dan berideologi Islam.
Ibrahim menegaskan, penyatuan yang diimpikan adalah penyatuan yang mempertahankan Islam, memelihara Perlembagaan, membela rakyat marhaen, menegakkan keadilan ekonomi dan memulihkan maruah negara. – MalaysiaGazette
















