Mohamad Fauzi Ishak

KUALA LUMPUR – Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) menyambut baik keputusan kerajaan menaikkan semula kuota BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan mulai 1 September ini.

Presidennya, Mohamad Fauzi Ishak berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 itu memberi kelegaan kepada sebahagian besar pengamal media khususnya yang bertugas di negeri-negeri.

Menurutnya, pengembalian kuota itu dapat membantu mengurangkan beban kos bahan api yang terpaksa ditanggung pengamal media bagi melaksanakan tugasan harian.

“Perbelanjaan ini tentunya bagi menampung kos logistik untuk ulang alik ke tempat kerja, yang turut meliputi keperluan ke tempat tugasan serta liputan pelbagai program dan acara setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fauzi berkata, peningkatan semula kuota BUDI95 kepada 300 liter seperti yang pernah dipohon GKMM sebelum ini akan membantu memastikan pengamal media dapat terus menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih baik.

“Pengembalian semula kuota BUDI RON95 seperti mana yang pernah dipohon oleh GKMM sebelum ini, tentunya akan memastikan seluruh pengamal media dapat terus memainkan peranan memberikan liputan terbaik, selain menyampaikan maklumat dengan pantas kepada seluruh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, GKMM berharap syarikat dan agensi media di seluruh negara turut mengambil langkah memperkenalkan insentif baharu atau elaun tertentu kepada pengamal media masing-masing selaras dengan peningkatan kos melaksanakan tugasan.

Fauzi berkata, kos perjalanan dan logistik kini menjadi antara komponen perbelanjaan besar yang perlu ditanggung sebilangan besar pengamal media setiap bulan, terutama mereka yang bertugas di negeri-negeri.

Pada 26 Mac lalu, Anwar mengumumkan BUDI95  dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April.

Pengumuman itu dibuat susulan konflik Asia Barat yang mengganggu bekalan minyak dan ekonomi dunia pada waktu itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here