KUALA LUMPUR – Kerisauan hampir 10 juta pekerja formal mengenai perlindungan keselamatan sosial di luar waktu bekerja bakal berakhir apabila Skim Lindung 24/7 bakal dilaksanakan seawal suku kedua (S2) tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, pelaksanaan skim ini susulan daripada kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 di Parlimen, bulan lalu.
“Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini sedang memperincikan pelan pelaksanaan tersebut secara cermat bagi memastikan ia bergerak selari dengan program perlindungan sedia ada.
“Kita merancang skim ini dilaksanakan pada suku kedua atau suku ketiga tahun ini, paling penting kita perlu mengambil langkah-langkah cermat dan betul kerana ia perlu selari dengan program sedia ada,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Media Luncheon Perkeso ‘Lindung Sahabat’, hari ini.
Ramanan menjelaskan, Skim Lindung 24/7 direka khusus untuk memberikan perlindungan menyeluruh sepanjang masa, sekali gus menutup jurang risiko yang selama ini terpaksa ditanggung oleh pekerja sekiranya berlaku kemalangan di luar tugasan rasmi.
RUU tersebut diluluskan Dewan Rakyat pada 2 Disember tahun lalu menyasarkan transformasi besar dalam ekosistem keselamatan sosial negara terutama bagi mengelakkan ribuan keluarga jatuh ke lembah kemiskinan akibat ketiadaan punca pendapatan selepas ditimpa musibah. -MalaysiaGazette
















