KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini melancarkan Video Pesanan Khidmat Awam (PSA) Kesedaran Keselamatan di Landasan Kereta Api sebagai langkah memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap risiko pencerobohan, vandalisme serta kemalangan di kawasan landasan.
Inisiatif ini dilaksanakan susulan peningkatan trend pencerobohan, vandalisme serta kemalangan di kawasan landasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pelancaran video berkenaan diadakan di Pawagam Mini P. Ramlee, Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini dan dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, bersama pegawai kanan kementerian serta agensi berkaitan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, penghasilan video PSA itu merupakan sebahagian daripada pendekatan komunikasi strategik KTMB bagi menyampaikan mesej keselamatan secara lebih jelas, tegas dan berimpak kepada masyarakat.
Menurutnya, majlis pelancaran tersebut bukan sekadar bersifat simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan KTMB dalam memperkukuh budaya keselamatan serta memastikan pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang di kawasan landasan kereta api.
“Keselamatan di landasan kereta api adalah tanggungjawab bersama. Ia melibatkan nyawa orang awam, keselamatan penumpang dan kakitangan, serta kelancaran operasi tren,” katanya.

Azlan Shah berkata, video berkenaan memberi tumpuan kepada bahaya pencerobohan landasan, penggunaan lintasan haram serta perbuatan vandalisme seperti kecurian kabel dan kerosakan infrastruktur, yang boleh membawa akibat serius termasuk kehilangan nyawa.
Dalam pada itu, ketika ditemui MalaysiaGazette selepas majlis pelancaran, Azlan Shah berkata, statistik insiden keselamatan yang direkodkan KTMB menjadi faktor utama kempen kesedaran tersebut diperhebatkan.
“Jika dilihat kepada trend semasa, terdapat beberapa kategori utama insiden keselamatan, termasuk kes pencerobohan dan kecurian kabel.
“Kes kecurian kabel sahaja kini mencecah sekitar 140 kes dan menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun,” dedah beliau.
Beliau berkata, kes-kes berkenaan bukan sahaja menjejaskan sistem semboyan dan komunikasi, malah memberi kesan langsung kepada operasi tren dan kebolehpercayaan perkhidmatan rel negara.
Sehubungan itu, Azlan Shah berkata, KTMB menetapkan sasaran pengurangan keseluruhan insiden keselamatan sekurang-kurangnya 15 peratus.
Manakala, bagi kes kecurian kabel, sasaran pengurangan diletakkan sehingga 30 peratus.
Namun, sasaran ini tidak boleh dicapai melalui video PSA semata-mata.
“Ia memerlukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat, selain penguatkuasaan bersepadu bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis bantuan KTMB dan pasukan keselamatan dalaman,” ujarnya.

Jelas beliau, kawasan berisiko tinggi dikenal pasti melibatkan penempatan berhampiran landasan, kawasan kampung, stesen bandar serta lintasan tanpa kebenaran yang sering digunakan penduduk setempat.
“Banyak kes berlaku akibat lintasan haram, khususnya melibatkan penduduk yang menetap di sepanjang jajaran landasan.
“Ini adalah isu yang amat membimbangkan dan memerlukan pendekatan kesedaran secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata, KTMB turut memberi fokus kepada program kesedaran dalam kalangan komuniti setempat, pelajar sekolah serta orang awam bagi meningkatkan kefahaman mengenai risiko dan bahaya berada di kawasan landasan kereta api.
Selain kempen kesedaran, Azlan Shah berkata, KTMB juga melaksanakan pelbagai langkah pencegahan lain termasuk penggunaan teknologi.
“Kami telah memasang CCTV di beberapa lokasi berisiko tinggi, selain menggunakan dron berasaskan kecerdasan buatan (AI) di kawasan hotspot bagi memantau pencerobohan dan aktiviti mencurigakan,” katanya.
Menurut beliau, KTMB turut menggunakan sistem pengesanan berasaskan gentian optik yang mampu mengesan sebarang getaran atau pencerobohan di laluan tertentu, selain menambah baik perlindungan kabel dan infrastruktur kritikal.
Sebagai langkah keselamatan tambahan, beliau berkata, KTMB turut mengarahkan tren memperlahankan kelajuan di kawasan berisiko tinggi bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Mengulas kerjasama pihak luar, Azlan Shah berkata, KTMB sedang dan akan terus bekerjasama dengan sekolah, NGO serta komuniti setempat sebagai sebahagian usaha jangka panjang membudayakan keselamatan rel.
“Ini adalah permulaan kepada sesi kesedaran yang lebih menyeluruh. Keutamaan kami adalah memastikan operasi yang selamat, dan pada masa sama meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.
Beliau turut memaklumkan menjelang musim perayaan KTMB telah dan akan menambah perjalanan tren serta membuka jualan tiket bagi perjalanan tambahan bagi menampung peningkatan permintaan penumpang. – MalaysiaGazette
SAKSIKAN VIDEO KESELAMATAN BERMULA DENGAN PILIHAN KITA
Landasan Bukan Jalan Pintas, Pilihan Kita Jurang Hidup Atau Mati
















