Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 30 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Segala isu rasuah dan salah guna kuasa dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menjejaskan keupayaan operasi pertahanan negara, jelas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sambil menegaskan badan keselamatan itu bukan sebuah kolam rasuah, beliau menegaskan, tindakan tegas sedang diambil terhadap individu yang terlibat tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

“ATM bukan sebuah kolam rasuah. ATM bukan ekosistem nasional yang dipacu dengan imbuhan, ganjaran dan pemberian yang keji dan tidak halal,” tegasnya di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian menerusi sesi penerangan Menteri Pertahanan berhubung isu-isu terkini rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menambah, elemen negatif sebegini bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat tetapi juga mengancam keselamatan negara.

Segala tindakan salah laku termasuk budaya hedonisme dan penyelewengan pentadbiran sedang ditangani melalui mahkamah ATM dan sistem keadilan sivil.

“Kementerian ini tidak akan melindungi sesiapa dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan bebas, telus dan berkesan,” katanya.

Beliau juga menegaskan, Mindef telah membuka pintu sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bekerjasama rapat bagi membasmi segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya memberi jaminan bahawa seluruh Kementerian Pertahanan berdiri bahu membahu dengan SPRM untuk tujuan ini,” katanya.

Dalam usaha memulihkan wibawa dan kepercayaan rakyat terhadap ATM, Mohamed Khaled berkata, kementerian telah memperkenalkan beberapa langkah utama termasuk semakan dan penyusunan semula prosedur perolehan, digitalisasi sistem, penggunaan kecerdasan buatan bagi analisis perolehan serta penubuhan Lembaga Pengukuhan Keutuhan dan Amanah.

Pelaksanaan kerangka Environmental, Social and Governance (ESG) turut diperkenalkan untuk meningkatkan standard governan, kelestarian dan kemampanan dalam tatakelola Mindef dan ATM.

“Kesemua langkah ini bertujuan menutup ruang perbuatan rasuah, meningkatkan kecekapan perkhidmatan, dan memastikan Mindef beroperasi secara unggul,” jelasnya.

Mohamed Khaled turut memberi jaminan bahawa sistem pertahanan negara tetap utuh dan operasi ATM tidak terganggu.

Beliau turut menambah segala kelewatan perolehan akan diselaraskan dengan Kementerian Kewangan.

“Kesiapsiagaan sistem pertahanan kita adalah pada tahap terbaik dan sama sekali tidak terjejas,” katanya.

Malah Mohamed Khaled menegaskan, ATM walaupun berdepan kritikan dan isu integriti masih berfungsi sebagai sistem pertahanan yang hebat dan berperanan langsung terhadap kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negara.

“Perbuatan segelintir anggota yang tidak bertanggungjawab sama sekali tidak mewakili keseluruhan warga ATM,” katanya.

Isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan ATM kini mendapat perhatian serius, dengan penahanan dan pendakwaan beberapa pegawai tinggi.

Antaranya ekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan Panglima Tentera Darat (PTD) serta isteri mereka atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan dana serta perolehan, menunjukkan tindakan tegas SPRM dan komitmen untuk memperkukuh integriti serta tadbir urus dalam sektor pertahanan negara bagi mengatasi ketirisan dan memastikan ketelusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast