KUANTAN – Pas Pahang tegas menolak keputusan Kabinet yang membenarkan pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memohon kemasukan ke universiti awam sekadar dengan kepujian dalam bahasa Melayu dan sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Penerangan Pas Pahang, Aireroshairi Roslan berkata, keputusan itu mencabar kedaulatan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan mewujudkan ketidakadilan yang ketara dalam sistem kemasukan universiti.
Menurutnya, lebih mencurigakan, pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dan bukannya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai saluran rasmi serta ketelusan Dasar Pendidikan Negara.
“Cadangan ini mencipta diskriminasi terang-terangan dalam sistem pendidikan negara kerana Pelajar SPM diwajibkan mengambil sekurang-kurangnya enam mata pelajaran termasuk subjek teras seperti Matematik dan Sains untuk layak memasuki universiti awam.
“Tetapi pelajar UEC pula dicadangkan hanya perlu lulus bahasa Melayu dan sejarah SPM sahaja, sementara subjek lain diambil dari sistem yang tidak pernah diiktiraf kerajaan.
“Bagaimana Kementerian Pendidikan Tinggi mahu mengira merit kemasukan jika majoriti subjek tidak diambil dalam SPM? Jawapannya jelas—keputusan UEC akan digunakan juga, dan ini bermakna pengiktirafan UEC secara senyap tanpa kelulusan rakyat.
“Inilah pengkhianatan terhadap sistem pendidikan kebangsaan,” katanya dalam kenyataan.

- Pengiktirafan UEC : Jangan khianati sistem pendidikan kebangsaan – Pas Pahang
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mempertimbang untuk membenarkan pelajar UEC menduduki mata pelajaran bahasa Melayu dan sejarah ketika mendaftar peperiksaan SPM.
Aireroshairi berkata, UEC tidak pernah diiktiraf kerajaan kerana berada di luar kerangka sistem pendidikan kebangsaan.
Beliau turut mengingatkan, Fadhlina sendiri pernah menegaskan KPM tidak akan mengiktiraf UEC kerana bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.
“Bahkan Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, seorang pakar pendidikan bukan Melayu menegaskan UEC tidak wajar diiktiraf kerana tidak selari dengan prinsip pendidikan kebangsaan.
“Malah, beliau (Kok Seong) menyifatkan orang Melayu terlalu bertolak ansur sehingga menjejaskan kedudukan sendiri.
“Jika pakar bukan Melayu pun nampak bahaya ini, mengapa kepimpinan Melayu dalam kerajaan masih sanggup berkompromi?
“Isu ini bukan sekadar soal kemasukan universiti, tetapi melibatkan kedaulatan dasar pendidikan dan masa depan identiti nasional di mana bahasa Melayu dan sejarah bukan sekadar subjek peperiksaan, tetapi instrumen pembinaan identiti nasional dan kefahaman sejarah negara.” katanya lagi.
Justeru, katanya, Pas Pahang menuntut semua pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang, bangkit menolak sebarang bentuk pengiktirafan UEC.
Beliau turut menggesa kerajaan supaya memberi penjelasan terbuka melalui Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri bagi mempertahankan maruah sistem pendidikan negara. – MalaysiaGazette
















