Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar dan Timbalan Ketua Pengarah Alam Sekitar diiring anggota SPRM bagi permohonan reman disyaki meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 JANUARI 2026.

PUTRAJAYA – Dua pegawai tertinggi dan seorang penolong pegawai jabatan kerajaan direman tujuh hari sehingga 5 Februari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-sisa).

Manakala seorang lelaki yang juga orang awam pula direman selama tiga hari sehingga 1 Februari bagi siasatan kes sama.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret di sini selepas permohonan dibuat oleh SPRM kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar dan Timbalan Ketua Pengarah Alam Sekitar diiring anggota SPRM bagi permohonan reman disyaki meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 JANUARI 2026.

Terdahulu kesemua suspek yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga tiba di pekarangan Istana Kehakiman di sini dengan menaiki kenderaan SPRM kira-kira jam 9.31 pagi tadi.

Semalam, keempat-empat individu tersebut ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini selepas hadir untuk memberi keterangan kira-kira jam 6.30 petang.

Sebelum ini, SPRM memperhebatkan siasatan terhadap kegiatan pengimportan e-waste secara haram.

Hasil risikan SPRM mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena telah diseludup masuk melalui pelabuhan utama.

Selain itu, risikan terbaru mendedahkan warga asing disyaki menjadi dalang pengimportan e-waste, plastik dan kertas secara haram untuk tujuan kitar semula, manakala pihak berkuasa dipercayai bersubahat berkait kes pencemaran.

Isnin lalu, sebanyak 16 akaun bank dibekukan membabitkan kira-kira RM10.2 juta, manakala wang tunai bernilai RM87,000 dan barang kes bernilai kira-kira RM220,000 turut disita.

Ia susulan siasatan dakwaan rasuah dalam pemprosesan e-waste, pembuangan sisa efluen serta buangan berjadual melalui Op Nature. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast