KUALA LUMPUR – Kumpulan Modal Perdana (KMP), sebuah firma modal teroka milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) secara rasmi mengumumkan pelaburan strategik dalam fasiliti hidrometalurgi yang dibangunkan oleh Econili.
Pelaburan itu membolehkan pemprosesan mineral kritikal seperti litium, kobalt dan nikel dilakukan secara domestik sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import asing.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KMP, Yarham Yunus, pelaburan KMP dalam Econili bukan sekadar suntikan modal kewangan malah ia merupakan pegangan strategik terhadap masa depan Malaysia.
Katanya, langkah itu bertujuan menempatkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam industri kitar semula bateri dan menyokong aspirasi negara menjadi hab kitar semula di Asia Tenggara.
“Dalam usaha kita menuju ekonomi berteknologi tinggi dan ‘Net Zero’, kita tidak mahu membiarkan sumber kritikal negara kekal sekadar sisa dan pelaburan ini merupakan pegangan strategik untuk memastikan rantaian nilai revolusi kenderaan elektrik (EV) kekal berakar umbi di Malaysia.
“Bahan-bahan yang dipulihkan daripada bateri terpakai turut dijelaskan akan disalurkan semula ke dalam sektor penyimpanan tenaga (BESS) bagi menyokong kestabilan grid tenaga boleh baharu.
“Usaha kolaboratif ini mencerminkan komitmen teguh kerajaan dalam memacu ekonomi kitar semula dan memperkukuh kedaulatan rantaian bekalan industri berteknologi tinggi negara,” katanya dalam kenyataan.
Econili yang telah menerajui kitar semula bateri litium-ion sejak 2019, kini mengendalikan loji terbesar di Malaysia dengan kapasiti pemprosesan sehingga 24,000 tan bateri terpakai setahun.
Dengan menggunakan kaedah hidrometalurgi yang lebih mesra alam berbanding kaedah tradisional, fasiliti itu menyokong konsep urban mine atau lombong bandar.
Teknologi hijau itu bukan sahaja meminimumkan risiko pencemaran malah memastikan pematuhan tinggi terhadap standard alam sekitar (ESG) dan pengurusan sisa berbahaya.
Inisiatif ini juga sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang memfokuskan kepada misi Net Zero.
Pelaburan dijangka memperkukuh ekosistem EV dengan menyediakan penyelesaian pelupusan bateri yang mampan, yang merupakan antara halangan utama penerimaan EV sebelum ini.
Selain itu, ia turut membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan kimia dan teknologi hijau bagi warga tempatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Econili, Jayden Goh berkata, selaras dengan Dasar Teknologi Hijau Negara, Econili mendokong penuh ekosistem pengitaran semula bateri sebagai usaha menggantikan aktiviti perlombongan dan pelupusan yang tidak mampan menerusi rawatan semula bagi penggunaan bateri yang dicas semula.
“Kami amat berbangga dengan pelancaran loji Econill, yang merupakan terbesar di negara ini. Selaras dengan dasar kerajaan berkaitan sektor tenaga boleh baharu, loji Econili berupaya memprases sehingga 24,000 tan bateri terpakai setahun,” katanya.
Tambahnya, komitmen Econili terhadap teknologi hijau melalui kaedah hidrometalurgi menyokong aspirasi kerajaan untuk membangunkan industri berteknologi tinggi dan berkemahiran tinggi.
Ia sekaligus meletakkan Malaysia di hadapan negara pesaing yang masih bergantung kepada kaedah kitar semula berteknologi rendah dan lebih mendatangkan risiko pencemaran seperti kaedah pirometalurgi. – MalaysiaGazette
















