MENJELANG kedatangan bulan Ramadan, umat Islam akan berduyun-duyun memenuhi masjid dan surau, khususnya pada waktu solat Maghrib, Isyak dan tarawih. Begitu besar peranan masjid dan surau dalam kehidupan umat Islam, dan hal ini selari dengan contoh yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Malah, Allah SWT menyebut tentang masjid sebanyak 28 kali di dalam al-Quran, sama ada dalam bentuk tunggal (masjid) mahupun jamak (masājid).
Perkataan masjid merujuk kepada tempat sujud atau tempat ibadah umat Islam. Surau dan masjid memenuhi takrifan ini. Penyebutan yang berulang ini menegaskan kepentingan masjid/surau sebagai pusat ibadah serta simbol ketundukan dan pengabdian kepada Allah SWT.
Selain itu, perkara pertama dan utama yang dibangunkan oleh Rasulullah SAW setibanya di Madinah ialah masjid dan pasar. Pembangunan dua institusi ini menggambarkan pendekatan Islam dalam membangunkan insan dari sudut keimanan, di samping membina nadi kehidupan ekonomi umat secara seimbang dan berteraskan nilai keadilan.
Masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah SAW, iaitu Masjid Quba diikuti Masjid Nabawi, berfungsi sebagai pusat ibadah, pembangunan komuniti, pusat pendidikan, pengukuhan iman, penyucian jiwa, kesatuan umat serta penghayatan nilai kemanusiaan. Sementara itu, pasar-pasar atau Suq al-Ansar didirikan bagi mewujudkan sistem ekonomi yang adil, bebas daripada riba, serta mencegah amalan monopoli ekonomi yang sebelum itu dimanipulasi oleh golongan Yahudi.
Pembangunan pasar dan masjid menunjukkan betapa pentingnya keseimbangan antara kehidupan spiritual (masjid) dan kehidupan ekonomi sosial yang dibentuk melalui peraturan masing-masing. Jika masjid mempunyai adab dan peraturannya tersendiri, begitu juga peradaban di pasar yang turut diikat dengan peraturan yang jelas. Jika di masjid kita dilarang menandakan atau menempah tempat di saf hadapan, begitu juga di pasar bebas; kita dilarang memilih atau menandakan lokasi tertentu untuk berniaga sesuka hati.
Demikian juga terdapat pelbagai peraturan lain, khususnya larangan terhadap perbuatan mengurangkan timbangan, menyorokkan barangan, serta amalan tidak beretika dalam urusan perniagaan. Inilah misi hijrah Baginda Rasulullah SAW setelah berdakwah di Makkah selama tiga belas tahun, iaitu usaha memperkasakan perpaduan dan kesatuan ummah dalam mengatur misi pembentukan masyarakat madani di Madinah al-Munawwarah.
Sesungguhnya, mereka yang memakmurkan masjid ialah golongan yang terpilih, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut selain kepada Allah. Maka merekalah yang diharapkan tergolong dalam kalangan orang-orang yang mendapat petunjuk,” (Surah al-Tawbah, ayat 18). Maka, dengan adanya sifat-sifat tersebut, merekalah golongan yang mendapat petunjuk dan berada di atas jalan yang benar.
Berebut bina masjid dan surau
Atas kesedaran umat Islam terhadap kepentingan masjid dan surau, tradisi generasi terdahulu yang berlumba-lumba membina rumah Allah di atas muka bumi—tanpa mengira benua dan sempadan—terus subur hingga ke hari ini. Sebagai contoh, Pulau Lombok di Indonesia terkenal dengan gelaran Pulau Seribu Masjid. Pulau ini memiliki kira-kira 3,767 buah masjid dan 5,184 buah surau, yang tersebar di 518 buah desa di seluruh Pulau Lombok.
Di Malaysia pula, menurut data Portal Masjid Malaysia, sehingga Februari tahun lalu, terdapat sebanyak 6,808 buah masjid dan 18,363 buah surau yang berfungsi sebagai pusat ibadah, dakwah dan pembinaan komuniti umat Islam di seluruh negara.
Dalam keghairahan umat Islam membangunkan masjid dan surau yang bernilai puluhan juta ringgit, tugas untuk memakmurkan memakmurkan/menimarahkannya) pula merupakan satu cabaran yang besar dan berterusan. Malah, dalam laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1 Februari 2026, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, masjid tidak seharusnya terus terperangkap dalam kepompong pemikiran yang jumud dan lapuk.
Baginda seterusnya bertitah: “Masjid sebaiknya hendaklah aktif menggalas peranan pendidikan, pengembangan pelbagai ilmu duniawi dan ukhrawi, kaunseling keluarga, aktiviti remaja, pembangunan sosial dan ekonomi, serta berperanan sebagai pusat memupuk adab, jati diri dan perpaduan masyarakat.”
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Yang Dipertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Hakim Mahkamah Syariah Perak dan Ahli Majlis Perundingan Masjid, serta Penyerahan Zakat Perniagaan dan Pendapatan, yang berlangsung di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC) pada 1 Februari 2026. Pesanan ini selari dengan pesanan daripada (JAINS) melalui teks khutbah Jumaat (16 OGOS 2024 / 11 SAFAR 1446) yang mengharapkan supaya masjid dibangunkan secara kolektif.
Secara kolektif Jemaah harus hadiri majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau kerana dengan ilmu kita dapat mengubah minda dan jiwa kita. Kelas pengajian fiqah, aqidah, tafsiran al-Quran, tasawuf dan sebagainya yang diadakan memerlukan komitmen komuniti semua. Jika mampu, milikilah kitab yang diajar oleh tuan-tuan guru kita supaya kita dapat menghayati kandungan kuliah yang disampaikan. Catatlah perkara penting supaya ilmu yang dicurahkan tidak berlalu dengan sia-sia. (khutbah Jumaat JAINS).
Perasmian SAU dan ZPD, Lenggeng
Selari dengan seruan khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS), pada 31 Januari 2026 telah berlangsung Majlis Perasmian Surau Abi Ummi dan Zawiyah Pengajian Darqawi di Lenggeng. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi merangkap Imam 1 Masjid Khairiah Lenggeng, Mohd Said Ab. Ghani.
Majlis ini telah disaksikan oleh tidak kurang daripada 70 orang hadirin, yang terdiri daripada keluarga pewakaf surau, penduduk Kampung Lenggeng dan kawasan sekitarnya, jemaah dari Tahfiz Albiranii Johor, Madrasah Al-Aliyah Sikamat, Seremban, jemaah Ecopro dari Perlis, pegawai keselamatan tempatan, serta para tetamu kehormat yang lain.
Majlis perasmian ini telah berlangsung dengan lancar dan penuh tertib. Acara dimulakan dengan bacaan wirid Shaykh Muhammad Ibn al-Habib (1876–1972), seorang ulama besar Tariqah Darqawiyyah–Shadhiliyyah dari Maghribi, yang diamalkan secara meluas oleh murid-murid Shaykh Dr. Abdalqadir as-Sufi di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Wirid ini diamalkan setelah Shaykh Muhammad Ibn al-Habib memberikan izin dan ijazah kepada para muridnya sebagai kesinambungan warisan tasawuf Tariqat Qadiriyyah Shadhiliyyah Darqawiyyah (TQSD) di Maghribi.
Selepas selesai bacaan wirid, majlis diteruskan dengan bacaan qasidah daripada Diwan Shaykh Muhammad Ibn al-Habib (SMIH). Diwan SMIH ini telah tersebar luas dan terus berkembang pengamalannya di Malaysia, Thailand dan Indonesia. Amalan qasidah dan wirid ini dilakukan sama ada secara individu mahupun berjemaah, bertujuan untuk mengukuhkan iman dan ihsan dalam diri para pengamalnya.
Pewakaf tanah dan surau, Leftenan Kolonel (B) Abu Zahrin Abu Bakar bersama keluarga Allahyarhamah Sharifah Maimunah Tuanku Ayubi al-Aidid berkata, wakaf ini bukan sekadar penyerahan harta, tetapi suatu amal jariah berteraskan kesedaran rohani, sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dan meninggalkan manfaat berpanjangan kepada generasi mendatang. Penubuhan Surau Abi Ummi bertujuan memenuhi keperluan rohani dan kemasyarakatan penduduk setempat, serta menjadi ruang pembinaan iman, akhlak dan penyucian jiwa.
Nama Abi Ummi yang merupakan akronim kepada Akademi Bina Insanul Kamil Ummah Mahabbatul Insan mencerminkan aspirasi tasawuf ke arah pembentukan insan seimbang melalui mahabbah, adab, futuwwah dan ukhuwah.
Surau ini dibangunkan berteraskan tauhid yang hidup, meneladani Rasulullah SAW, serta memupuk hubungan harmoni sesama manusia. Keserasian falsafah ini dengan manhaj Tariqah Qadiriyyah–Shadhiliyyah–Darqawiyyah (TQSD) telah melahirkan kerjasama ikhlas untuk memakmurkan surau dan zawiyah sebagai pusat zikir, ilmu dan pembinaan rohani, agar Islam dihayati sebagai jalan hidup yang membentuk akhlak dan menenangkan masyarakat.
Dalam ucapannya, Mohd Said menyambut baik pembukaan Surau Abi Ummi dan menyatakan harapan agar surau ini menjadi pemangkin pengukuhan peranan surau sebagai pusat pembangunan ilmu, rohani, dan sosial masyarakat. Beliau menekankan bahawa setiap surau perlu berdikari dalam memperoleh sumber dana dan menjalankan aktiviti mengikut peraturan serta garis panduan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Beliau juga memaklumkan terdapat tujuh surau di bawah seliaan Masjid Khairiah Lenggeng, dan menegaskan Surau Abi Ummi serta Tariqah Qadiriyyah–Shadhiliyyah–Darqawiyyah adalah berdaftar secara rasmi dengan MAINS, sekali gus menegaskan legitimasi dan peranan rasmi kedua-dua entiti ini dalam pembangunan komuniti dan kerohanian.
Peranan Zawiyah dalam Komuniti Lenggeng
Melalui kerjasama ini, SAU berfungsi sebagai Zawiyah Pengajian Darqawi (ZPQ) yang dipimpin oleh Prof. (B) Dr. Zuhaimy Ismail. Zawiyah ini bukan sekadar pusat pengajian spiritual, tetapi menjadi titik pertemuan rohani dan sosial bagi komuniti Lenggeng. Dalam tradisi Islam Nusantara, zawiyah berperanan sebagai pusat tarbiyah jiwa dan pembinaan akhlak, bukan tempat pengasingan diri. Pengajian yang dijalankan merangkumi ilmu tariqat, al-Quran dan Hadith, serta disiplin duniawi seperti sastera, sains, teknologi, pertanian, dan pengurusan alam siber.
Pendekatan holistik ini bertujuan melahirkan insan seimbang — kukuh rohaninya, luas ilmunya, dan mampu berperanan aktif dalam masyarakat. Melalui Zawiyah Pengajian Darqawi, surau berfungsi sebagai pusat pembangunan komuniti, memupuk ukhuwah, menggalakkan kerjasama sosial, dan menjadikan nilai-nilai tasawuf sebagai asas kehidupan seharian.
Surau Abi Ummi dan Zawiyah Pengajian Darqawi Lenggeng mencerminkan usaha mengangkat kembali fungsi surau sebagai institusi teras masyarakat mengikut model amal madinah. Dengan pendekatan tasawuf yang sederhana dan berakar pada tradisi Nusantara, surau ini diharap dapat menyumbang kepada pembinaan Komuniti Madinah, menghidupkan nilai futuwah dan memperkukuh keharmonian masyarakat setempat serta sejagat.
Oleh: Dr. Zuhaimy Ismail
Muqadim Tariqa Qadiriyyah-Shadhiliyyah-Darqawiyyah
















