KUALA LUMPUR – Siti Hajar daripada RHJ Tijarah Sdn. Bhd. dinobatkan sebagai Johan, manakala Aliaa Ziyadi daripada Hokido Shop Enterprise meraih naib johan dalam Pusingan Akhir Liga Usahawan Eksport Selangor (SAY ASPIRE) Edisi Ketujuh yang berlangsung semalam.
Manakala Eric Lim daripada Dataverse Sdn Bhd pula menduduki tempat ketiga.
Dengan kemenangan itu, Siti Hajar menerima geran sebanyak RM10,000, manakala Aliaa Ziyadi menerima RM7,000 dan Eric Lim menerima RM5,000.

Ketiga-tiga pemenang turut menerima peluang lawatan pasaran ke negara terpilih bagi tujuan promosi dan rundingan perniagaan, sesi mentoring eksklusif SAY ASPIRE+, peluang penyertaan dalam Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), serta akses kepada potensi kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan eksport.
SAY ASPIRE merupakan sebuah inisiatif Selangor Youth Community (SAY) yang bertujuan membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa melalui bimbingan strategi eksport, pematuhan standard global dan rangkaian perniagaan strategik.
Pusingan akhir SAY ASPIRE Edisi Ketujuh menyaksikan 10 syarikat tempatan bersaing menerusi pembentangan pelan perniagaan yang dinilai oleh panel juri terdiri daripada wakil kerajaan dan pemain industri.

Program ini turut memberi peluang kepada para peserta untuk mendapatkan pendedahan, bimbingan dan akses kepada jaringan perniagaan yang dapat menyokong perkembangan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Pusingan Akhir Liga SAY ASPIRE.
Penganjuran SAY ASPIRE Edisi Ketujuh turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Selangor melalui Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, serta rakan strategik termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dalam usaha memperkukuh peluang usahawan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa. – MalaysiaGazette
















