Logo parti MUDA.

GEORGE TOWN – Pelaksanaan semula pilihan raya kerajaan tempatan disifatkan sebagai langkah penting untuk mengembalikan mandat rakyat dan memperkukuh sistem semak dan imbang dalam pentadbiran tempatan di Pulau Pinang, kata MUDA Pulau Pinang.

MUDA Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan sokongan penuh diberikan terhadap usaha menghidupkan kembali pilihan raya kerajaan tempatan sebagai sebahagian daripada pembaharuan demokrasi dan tadbir urus yang lebih telus di negeri ini.

Menurut kenyataan itu, cadangan berkenaan telah dikemukakan secara jelas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dalam pertemuan pada November 2023, sejurus selepas beliau dilantik semula, dengan tujuan menghidupkan kembali pilihan raya kerajaan tempatan yang telah lama tidak dilaksanakan.

“Kita berpandangan, pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan mampu mewujudkan proses semak dan imbang yang lebih berkesan, telus dan bertanggungjawab berbanding sistem lantikan sedia ada yang majoritinya terdiri daripada ahli parti kerajaan.

“Sistem lantikan tanpa mandat rakyat berisiko melemahkan akauntabiliti pentadbiran tempatan serta mengehadkan kepelbagaian pandangan dalam membuat keputusan, sekali gus menjejaskan keupayaan kerajaan tempatan untuk berfungsi secara inklusif,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, MUDA Pulau Pinang turut mencadangkan Pulau Pinang mengambil contoh pendekatan Selangor apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya 50 peratus keanggotaan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dianggotai golongan profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembangunan bandar dan tidak diisi oleh ahli politik semata-mata.

“Keanggotaan ahli majlis tempatan juga perlu mencerminkan komposisi dan populasi kaum setempat bagi memastikan semua kaum yang menetap di sesuatu kawasan diwakili secara adil dan inklusif.

“Sekiranya masih terdapat kekangan perundangan atau halangan di peringkat Persekutuan, kita mencabar Kerajaan Negeri supaya tampil lebih berani dengan melantik kesemua ahli majlis tempatan daripada kalangan profesional, masyarakat sivil dan individu bebas yang bukan ahli parti kerajaan.

“Langkah itu penting bagi memastikan kepentingan rakyat benar-benar diutamakan dalam pentadbiran kerajaan tempatan di Pulau Pinang,” katanya.

Media semalam melaporkan pemulihan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk pemilihan Datuk Bandar berada di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri kerana ia memerlukan pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 pada peringkat Persekutuan, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang secara konsisten memperjuang pemulihan pilihan raya pada peringkat PBT, termasuk membangkitkan usul berkaitan di Dewan Undangan Negeri (DUN) serta membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan bagi tujuan semakan kehakiman sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast