KUALA LUMPUR – Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali mendakwa perbicaraan kes saman fitnah ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak terhadap Chegubard di Mahkamah Tinggi dijalankan secara sebelah pihak tanpa kehadiran aktivis itu dan peguamnya.
Muhammad Rafique mendakwa, Farhash telah memasukkan keterangannya pada prosiding 12 Januari lalu tanpa diperiksa balas oleh aktivis itu mahupun peguam yang mewakilinya.
“Kami hanya mengetahui perkara berkaitan penghakiman mahkamah pada 29 Januari lalu melalui kenyataan media dan media sosial.
“Itulah kali pertama Chegubard mengetahui ada perbicaraan dan penghakiman terhadap beliau berkaitan saman yang difailkan oleh Farhash,” ujarnya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sehubungan itu, Muhammad Rafique menegaskan, Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin tidak diberi peluang untuk membela diri dan menyoal balas Farhash bagi menafikan tuntutan saman tersebut.
Pada 29 Januari lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi mengarahkan Chegubard dan pempengaruh, Norpais Ismail membayar ganti rugi RM300,000 sebagai ganti rugi am, RM150,000 (ganti rugi teruk) dan RM100,000 (ganti rugi teladan) serta kos RM40,000.
Mahkamah memutuskan demikian selepas berpuas hati kenyataannya memfitnah Farhash (plaintif) dengan maksud yang merosakkan dan boleh diambil tindakan.
Pada sidang media itu, Muhammad Rafique turut mempertikaikan isu penyerahan writ saman yang dikatakan dihantar ke alamat terakhir Chegubard di Pulau Pinang dan diterima oleh seorang individu.
Ujar Muhammad Rafique, writ saman itu yang diserahkan secara kurier didakwa dihantar ke alamat tersebut walhal anak guamnya kini menetap di Seremban, Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette
















