PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah kapal tangki dan sebuah bot pancung dalam dua operasi berasingan di perairan Selangor di sini semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan kapal tangki itu dibuat kira-kira 12.30 tengah malam.
“Ia hasil pemantauan radar Area Control Centre (ACC) Klang sebelum sebuah bot peronda digerakkan ke lokasi sejauh 18.9 batu nautika barat daya Kuala Sungai Besar,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata, kapal tangki itu dikendalikan seorang kapten warganegara China bersama 21 kru terdiri daripada 11 warga China, lapan Myanmar dan dua Bangladesh yang berusia antara 24 hingga 52 tahun.
“Semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun kapten gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh. Kapal disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Perintah penahanan telah dikeluarkan dan kapten bersama pegawai jurutera kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor bagi siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran ditahan kira-kira 5.10 petang di kedudukan 1.55 batu nautika barat Kapar selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dan gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen kebenaran menjalankan aktiviti penangkapan ikan.
“Bot dan individu terbabit diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.
Katanya lagi, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti haram di perairan Selangor.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Selangor di 013-660 6652 untuk tindakan segera. – MalaysiaGazette
















