MELAKA – Polis mengesahkan kejadian seorang wanita dikejar lelaki bersenjatakan pisau di kawasan parkir sebuah pusat belah belah di Taman Lagenda di sini malam tadi berpunca akibat tersalah sangka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa, seorang pelajar universiti berusia 21 tahun memaklumkan tidak mengenali suspek warga tempatan berusia 50 tahun.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa terpaksa melarikan diri bersama adik perempuannya masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan selepas didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang bertindak agresif sambil memegang sebilah pisau.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek beralamat di Kelemak, Alor Gajah secara tiba-tiba memarahi dan menjerit ke arah mangsa sebelum bertindak mengejarnya sambil membawa sebilah pisau sehingga menimbulkan ketakutan.
“Mangsa bagaimanapun terselamat apabila sempat melarikan diri masuk ke dalam pusat beli-belah selepas suspek terjatuh dan gagal mengejarnya.
“Siasatan mendapati, kejadian berpunca apabila suspek tersalah sasaran apabila dia menyangka mangsa adalah wanita warga vietnam yang pernah menipunya sebanyak RM10,000 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, susulan itu, polis merampas sebilah pisau serta pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian, selain turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan parkir dan pintu masuk pusat beli belah itu untuk mengesan pergerakan serta perbuatan suspek.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati, suspek juga positif syabu dan direman selama empat hari bermula hari ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” tambahnya.

Dalam kejadian itu, mangsa terselamat apabila sempat melarikan diri sebelum suspek ditahan polis di kawasan letak kereta kira-kira tiga jam kemudian selepas mengurungkan diri di dalam kereta dinaiki.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang wanita berdepan detik cemas apabila diserang suspek ketika sedang berjalan di kawasan parkir pusat beli belah berkenaan.
Tinjauan MalaysiaGazette pada jam 11.45 malam tadi mendapati, pihak polis sedang berusaha menangkap suspek apabila lelaki itu bertindak menguncikan dirinya di dalam kereta dinaiki jenis Toyota Altis.
Setelah hampir tiga jam, suspek akhirnya menyerah diri dan keluar dari kenderaannya yang sudah dikepung polis pada kira-kira jam 12.25 tengah malam. – MalaysiaGazette
















