PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dipenjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas sembilan kesalahan rasuah RM3.09 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Keputusan muktamad itu ditentukan secara sebulat suara oleh Mahkamah Persekutuan hari ini selepas membenarkan rayuan akhir pendakwa raya.
Ini bermakna, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dipenjara serta merta selepas mahkamah tertinggi negara mengeluarkan perintah komital bagi membolehkannya menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh berkuat kuasa hari ini.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nordin Hassan mengembalikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 yang membebaskannya.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali berpuas hati keterangan saksi pendakwaan ke-21 (SP21), Muhammad Zahid Md. Arip yang ketika itu pegawai khas politiknya adalah kredibel dan diterima mahkamah.
Ketika membacakan alasan penghakimannya, Hakim Nordin berkata, dapatan hakim bicara disokong oleh bukti mengikut undang-undang bahawa responden gagal mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Panel itu berpuas hati, intipati pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 16(a)(A) akta itu berhubung pembelian hotel, berjaya dibuktikan tanpa keraguan yang munasabah.
Oleh yang demikian, mereka juga berpuas hati bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membebaskan Mohd. Isa daripada kesemua sembilan pertuduhan yang mewajarkan panel itu campur tangan dan mengetepikan keputusan tersebut.
“Rasuah adalah perbuatan keji yang akan menghancurkan sesebuah negara,” ujarnya ketika membacakan penghakiman selama satu jam 45 minit bermula pukul 8.54 pagi.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden UMNO itu hadir di Istana Kehakiman di sini ditemani isteri, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid, ahli keluarga terdekat dan penyokong-penyokongnya.
Hakim Nordin selanjutnya menyatakan, Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya mengusik dapatan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menghukum bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu terhadap kesemua sembilan pertuduhan pada 3 Februari 2021.
Ujar beliau, ini kerana SP21 menyatakan, Mohd. Isa sendiri mengarahkannya untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel yang juga SP16.
Mahkamah Persekutuan bersetuju, SP21 merupakan perantara yang menerima wang daripada SP16 manakala penyerahan wang tersebut yang dilakukan sebanyak sembilan kali menguatkan kes pendakwaan.
Muhammad Zahid kemudian bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan wang rasuah itu secara berperingkat kepada Mohd Isa.
Pendakwaan merayu untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta serta penjara 18 tahun (dua tahun bagi setiap sembilan pertuduhan) jika gagal membayar denda.
Khamis lalu, panel berkenaan selesai mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz yang bertindak sebagai perayu dan peguam M. Athimulan yang mewakili Mohd. Isa selaku responden.
Mohd. Isa, 77, didapati bersalah atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Rasuah itu diterima daripada Ikhwan yang ketika itu ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, melalui Muhammad Zahid di Tingkat 49, Menara FELDA, Persiaran KLCC, di ibu negara, antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















