Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan (kanan) menerima dokumen yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali di Putrajaya, semalam.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan lima syor penambahbaikan tatakelola kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung pengurusan dan pelaksanaan projek MyKiosk.

Antara cadangan itu ialah mewujudkan pelaksanaan kajian keperluan yang komprehensif termasuk penilaian kebolehlaksanaan dan impak ekonomi.

Suruhanjaya itu juga menyarankan agar keberhasilan projek MyKiosk MADANI ditambah dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta mewujudkan satu unit pemantauan/jawatankuasa khas bagi pemantauan keberkesanan dan keberhasilan projek.

Dua lagi cadangan lain adalah menambahbaik Garis Panduan Inisiatif MyKiosk MADANI meliputi perolehan, pengurusan dan pemantauan serta mewujudkan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan di bawah peruntukan Persekutuan yang lengkap dan berfungsi sebagai rujukan operasi.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, syor dan cadangan itu adalah berdasarkan kepada isu melibatkan peruntukan kerajaan bagi projek MyKiosk sebanyak RM50 juta pada 2023 dan RM100 juta pada 2024.

Projek MyKiosk dikatakan merupakan salah satu projek gajah putih dan tidak mencapai objektif Kerajaan dan menyebabkan ketidakselesaan kepada rakyat akibat daripada penempatan MyKiosk yang tidak sesuai.

Antara isu utama ialah ketiadaan kajian keperluan dan mekanisme pemantauan keberhasilan yang komprehensif, termasuk petunjuk prestasi utama (KPI), yang menjejaskan penilaian impak projek di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Kesemua syor itu telah dibentangkan oleh Timbalan Pengarah 1, BPT SPRM, Maznah Che Muda kepada Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali sambil disaksikan oleh Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan di Bilik Mesyuarat JKT di Putrajaya, semalam.

Mohd Zaki berkata, pembentangan itu telah diterima baik dan dipersetujui oleh JKT untuk dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang bentuk salah guna kuasa, ketirisan serta menutup peluang berlakunya jenayah rasuah.

Beliau berkata, langkah ini dijangka memperkukuh pelaksanaan Projek MyKiosk agar lebih telus, berfokus dan berakauntabiliti.

Sementara itu, Mohd Fadzli menyambut baik kesemua cadangan penambahbaikan yang telah disyorkan oleh SPRM dan ianya dizahirkan apabila Laporan Penambahbaikan Tatakelola telah ditandatangani bersama antara SPRM serta JKT.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pembangunan, JKT, Mas Midyawam Ahmad Tajudin dan Pegawai Integriti, KPKT, Mohd Syafiq M.Yashim. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast