Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

Setiausaha Sulit kepada baginda, Datuk Mohd Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, isu penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara selain mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan.

Ia juga boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Dalam hal ini, walaupun pencemaran udara boleh diatasi dengan kaedah penternakan moden, ia memerlukan perbelanjaan besar dan tidak mungkin mampu dibiayai oleh mana-mana pihak yang menternak hanya untuk bekalan daging babi di negeri Selangor sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, baginda juga bertitah bahawa penternakan babi berskala besar atau kecil tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah yang terhad.

Ini di tambah pula dengan faktor nilai hartanah yang di negeri itu yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat,

Justeru baginda menyarankan agar kerajaan dapat memberi lesen untuk import daging babi bagi menampung keperluan orang bukan Islam khususnya kaum cina di Selangor sahaja.

Dengan kaedah ini, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa sama Kerajaan Negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah Selangor bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/02/08/sultan-selangor-terima-menghadap-pm-bincang-isu-semasa/

https://malaysiagazette.com/2026/01/10/sultan-selangor-tak-setuju-rancangan-ternakan-babi-di-kuala-langat/

“Sultan Selangor menegaskan isu penternakan babi dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak dan menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.

“Oleh itu semua pihak diseru untuk menghormati titah baginda dan bersama-sama menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya lagi.

Menurut Mohd Munir, Sultan Selangor menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyarankan Kerajaan Negeri Selangor membatalkan projek penternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Tambahnya, isu berkaitan itu telah dibincangkan oleh Perdana Menteri semasa menghadap Sultan Selangor, 8 Februari lalu. -MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast