KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Malaysia mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan segera bagi memastikan siasatan bebas, telus dan tanpa gangguan dapat dijalankan.
Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada Bersatu, Na’im Brundage berkata, isu pemilikan saham oleh Azam seperti yang didedahkan Bloomberg perlu diperjelaskan.
Ia memandangkan wujud garis panduan jelas bagi penjawat awam yang mengehadkan nilai pelaburan saham mereka.
“Malaysia memerlukan seorang Ketua Pesuruhjaya Pencegah Rasuah yang benar-benar telus, berani dan bebas daripada sebarang keadaan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi pencegahan rasuah negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Exco Armada Bersatu menambah, pendedahan media antarabangsa itu menimbulkan persepsi yang amat negatif dalam kalangan rakyat dan berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap kredibiliti sebuah agensi kerajaan yang sepatutnya menjadi benteng utama dalam memerangi rasuah di negara ini.
Katanya, individu yang memegang jawatan paling penting dalam menjaga integriti nasional tidak wajar berada dalam keadaan yang boleh menimbulkan persepsi konflik kepentingan atau keraguan awam.
Terdahulu, Bloomberg melaporkan, Azam, 62, memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan tahunan syarikat itu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 3 Februari tahun lalu, dengan nilai pegangan dianggarkan hampir RM800,000.
Jumlah ini dilaporkan melebihi siling pemilikan saham penjawat awam yang ditetapkan sekitar RM100,000 bagi mengelakkan konflik kepentingan. -MalaysiaGazette
















