KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan enam pegawai dan seorang bekas pegawai penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atas dakwaan menerima rasuah sehingga RM15,000 bagi mempercepatkan urusan permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan.
Perintah reman empat hari sehingga 14 Februari 2026 telah dikeluarkan Majistret Ameera Mastura di Mahkamah Majistret Shah Alam selepas permohonan SPRM pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50-an ditahan sekitar Lembah Klang antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari semalam.
Siasatan awal mendapati mereka dipercayai menerima wang rasuah antara RM500 hingga RM15,000 setiap bulan daripada pemilik syarikat perniagaan sebagai balasan mempercepatkan urusan lesen dan melindungi syarikat tertentu daripada tindakan undang-undang.
“Siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2019 hingga 2023.
“Kesemua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah antara RM500 hingga RM15,000 setiap bulan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing daripada dua pemilik syarikat bagi mempercepatkan urusan permohonan dan memperbaharui lesen perniagaan serta melindungi syarikat tersebut daripada dikenakan apa-apa tindakan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















