PETALING JAYA – Semua pihak digesa mengambilkira penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung dakwaan isu pemilikan saham dalam dua syarikat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, rakyat harus membaca dan memahami penjelasan Azam sebelum membuat sebarang tuduhan atau spekulasi.
“Orang buat kerja nak pecat mengapa, nak suruh ambil perasuah jaga.
“Baca penjelasan Azam Baki. Dia buat kerja, buat apa maki dia. Dengar penjelasan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Tahun Baru Cina Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) di sini hari ini.
Anwar menjawab pertanyaan media berhubung dakwaan pemilikan saham dan waran bernilai jutaan ringgit oleh Azam Baki, yang menjadi tular sejak beberapa minggu lalu.
Terbaharu, Azam mengesahkan beliau tidak lagi memiliki sebarang saham dalam mana-mana syarikat sejak Julai tahun lalu.
Beliau menjelaskan pegangan sahamnya dalam Velocity Capital Bhd telah dijual pada Julai 2025 dan pengisytiharan harta dibuat secara proaktif pada waktu itu.
Menurut Azam, pengisytiharan berkenaan dibuat melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) rasmi kerajaan dan dokumen tersebut boleh diakses pada bila-bila masa oleh pegawai yang diberi kuasa.
Semakan media dengan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati bahawa setakat 13 Januari tahun ini, Azam memiliki kurang daripada 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad, iaitu pegangan sebanyak 1.08 peratus.
Bagaimanapun, sehingga pukul 5 petang tadi, nama beliau tidak lagi terdapat dalam dokumen tersebut.
Sebelum ini, Azam dilaporkan memiliki 11.7 juta saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan, Velocity Capital Partners Berhad.
Beliau menegaskan bahawa saham berkenaan telah dibeli dan dilupuskan pada waktu yang tidak dinyatakan tahun lalu, walaupun rekod SSM masih menyenaraikan beliau sebagai pemegang saham setakat 26 Disember 2025. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Azam Baki nafi miliki sebarang saham, akaun dagangan kini kosong
















