Wanita berusia 41 tahun ditemui mati dengan kesan kelar dileher di kediamannya di Flat Sri Murni, Butterworth pada 4 Februari lalu.

GEORGE TOWN – Polis telah menyerahkan kertas siasatan kes pembunuhan seorang ibu tunggal di Flat Sri Murni di Butterworth pada 4 Februari lalu kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan telah selesai dan pihaknya kini menunggu arahan seterusnya daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Siasatan telah lengkap dan kita serah kertas siasatan kepada DPP pagi ini untuk arahan lanjut.

“Selain itu, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang warga asing masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan siasatan kes pembunuhan seorang ibu tunggal di kediamannya pada 4 Februari lalu.

Terdahulu, Azizee mengadakan walkabout di Pasar Awam Jelutong di sini sempena Advokasi Op Selamat 25 bagi Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang.

Media semalam melaporkan, tiga lelaki termasuk suspek utama yang terbabit dalam kes pembunuhan wanita berusia 41 tahun itu disambung reman bagi membantu siasatan.

Dua suspek tempatan masing-masing berusia 40 dan 46 tahun disambung reman selama lima hari sehingga 16 Februari ini.

Manakala seorang lagi suspek berusia 38 tahun yang juga lelaki Rohingya disambung reman selama dua hari sehingga Jumaat ini.

Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek itu dikeluarkan Majistret Balqis Roslin bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 4 Februari lalu, mayat seorang wanita berusia 41 tahun ditemui terbaring di dalam bilik tidur di kediamannya dengan kesan luka kelar pada leher dipercayai akibat dibunuh menggunakan senjata tajam.

Polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan itu berpunca daripada perasaan cemburu suspek terhadap mangsa, selain tiga lelaki ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast