JOHOR BAHRU – Cadangan persempadanan semula di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk adalah tidak perlu ketika ini malah dilihat akan menimbulkan konflik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi BN Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berpendapat, langkah tersebut akan menambah lagi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekali gus akan menjadikan jumlah wakil rakyat terlalu ramai.
“Saya rasa tak perlu nak buat persempadanan semula pun kerana ia akan menimbulkan lebih banyak konflik antara parti-parti PH dan BN yang kita nak elakkan pada PRN (Pilihan Raya Negeri) dan juga pada PRU-16 (Pilihan Raya Umum ke-16) akan datang.
“Saya jangka ia akan menjadi satu perkara yang memudaratkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2026 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling di Kompleks Tan Sri Mohamed di sini malam tadi.
Terdahulu menerusi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 23 Mei lalu, ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin melontarkan pertanyaan sama ada kerajaan negeri akan membuat persempadanan semula bagi membaiki perkhidmatan di kawasan DUN yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam jawapan bertulisnya memaklumkan, urusan kajian persempadanan semula melibatkan negeri dan Persekutuan adalah menurut bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, sekiranya alasan diberikan kerana bilangan penduduk sudah terlalu ramai, perkara berkenaan tidak menjadi masalah kerana apa yang penting perkhidmatan diberikan sampai kepada rakyat.
Contohnya kata Ketua UMNO Bahagian Pulai itu, semasa beliau menjadi Ahli Parlimen Pulai yang mempunyai lebih 165,000 pengundi, khidmat tetap dapat diberikan dan tiada masalah.
“Saya berikan perkhidmatan terbaik yang saya boleh buat. Kenapa mereka kata pengundi dia terlalu ramai pula? Ini masalahnya bila daripada pembangkang jadi kerajaan. Sekarang ini mungkin sayang untuk nak hilang status tersebut,” ujarnya.
Beliau berpandangan, sekiranya mahu melakukan proses itu di peringkat negeri seperti di Johor atau Melaka tiada masalah kerana dua kerajaan negeri itu masing-masing mempunyai mandat dua pertiga.
Katanya, jika dilaksanakan juga contohnya persempadanan itu melibatkan 10 peratus maka akan menjadikan bilangan kerusi Parlimen menjadi 242 hingga 250 kerusi di kawasan Parlimen di Semenanjung.
Secara tidak langsung juga, katanya, kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak akan minta ditambah juga sekali gus akan menjadikan 260 kerusi Parlimen semuanya di Malaysia dan jumlah itu terlalu ramai.
Bagaimanapun, katanya, apa juga cadangan semuanya bergantung kepada kelulusan SPR selepas melakukan kajian dan memperhalusi perkara tersebut. – MalaysiaGazette
















