Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin

KUALA LUMPUR — Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin Yassin dijadual memanggil satu Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di kediamannya di Bukit Damansara, pagi esok.

Menurut satu surat jemputan yang dipanjangkan kepada MalaysiaGazette, mesyuarat itu akan menghimpunkan barisan pimpinan tertinggi parti bagi membincangkan perkembangan semasa serta hala tuju Bersatu.

Notis rasmi yang dikeluarkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menegaskan bahawa kehadiran semua ahli MPT adalah penting bagi memastikan perbincangan berjalan secara menyeluruh.

“Adalah dimaklumkan, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan diadakan seperti ketetapan berikut pada 14 Februari 2026 (Sabtu) jam 10.00 pagi di kediaman Presiden, Bukit Damansara,” demikian tulis Azmin.

Mesyuarat khas itu dijadual bermula pada jam 10 pagi dengan agenda penuh dilampirkan kepada semua ahli MPT sebagai persediaan sebelum pertemuan berlangsung.

Difahamkan, antara agenda utama adalah untuk Muhyiddin memberikan penerangan berhubung perkembangan politik parti ketika Bersatu berdepan perhatian yang semakin memuncak.

Pengumuman mesyuarat ini hadir dalam suasana parti berdepan tekanan susulan beberapa perkembangan dalaman yang mendapat liputan meluas sejak kebelakangan ini.

Kontroversi memuncak apabila Lembaga Disiplin Bersatu memutuskan untuk memecat Timbalan Presiden parti, Hamzah Zainudin, selain beberapa pemimpin lain berkuat kuasa hari ini.

Turut dipecat adalah Ahli MPT, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan; Ketua Bahagian Bersatu Larut, Mohd Hassundi Hamzah dan Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin berkuat kuasa hari ini.

Bersatu beralasan Hamzah dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa hari ini kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast