KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup 17.58 tan aiskrim bernilai RM59,276.82 berjaya dipatahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menerusi pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kontena CFS 4, Pelabuhan Klang Barat, semalam.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihak pengimport telah mengemukakan pengisytiharan barang dagangan tersebut pada Borang K1 sebagai dumpling sejuk beku.
“Hasil pemeriksaan fizikal mendapati, barangan sebenar yang dibawa masuk adalah aiskrim dari China dan rampasan dianggarkan bernilai RM59,276.82 dengan berat sebanyak 17,580 kilogram (kg).
“Pemeriksaan mendapati, kesemua dagangan itu cuba dibawa masuk tanpa permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang sah.
“Sitaan dibuat untuk memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan makanan dan kepentingan kesihatan awam negara terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Nik Ezanee, kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] atas kesalahan mengimport tanpa permit import MAQIS yang
sah.
“Perbuatan mengisytiharkan barangan yang tidak tepat merupakan satu kesalahan serius kerana boleh menjejaskan kawalan pematuhan terhadap peraturan import, termasuk syarat permit, piawaian keselamatan makanan, cukai dan duti import yang berkaitan,” jelasnya.
Tegas beliau, AKPS komitmen berterusan dalam membanteras kemasukan barangan larangan dan dagangan yang tidak mematuhi peraturan demi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan negara. – MalaysiaGazette
















