KUALA LUMPUR – Majlis Peguam Malaysia memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman mencabar pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Salleh sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).
Permohonan itu dikemukakan kira-kira tiga bulan selepas pelantikan berkenaan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Melalui tindakan undang-undang tersebut, Majlis Peguam memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan melantik Terrirudin ke dalam suruhanjaya itu.
Ia juga menuntut perintah mandamus bagi mewajibkan Perdana Menteri melaksanakan kuasa pelantikan mengikut peruntukan undang-undang, amalan sedia ada serta Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
Selain itu, badan guaman berkenaan turut memohon supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkaitan Terrirudin dengan hasil siasatan didedahkan kepada orang ramai.
Dalam permohonannya, Majlis Peguam juga meminta mahkamah mengarahkan Terrirudin memberikan penjelasan serta mendedahkan asas pelantikannya sebagai anggota SPK.
Ia turut memohon perintah pengisytiharan bahawa keputusan pelantikan tersebut adalah tidak sah, terbatal dan tidak berkuat kuasa di sisi undang-undang.
Dalam pada itu, Majlis Peguam turut meminta supaya pelantikan itu digantung sementara menunggu keputusan muktamad prosiding semakan kehakiman.
Satu perintah larangan juga dipohon bagi menghalang responden daripada melantik Terrirudin ke sebarang jawatan kehakiman sepanjang kes tersebut belum diselesaikan.
Dalam tindakan itu, Majlis Peguam menamakan Terrirudin, Perdana Menteri, SPK serta kerajaan sebagai responden.
Setiausaha Majlis Peguam, Murshidah Mustafa memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan tersebut.
Mahkamah menetapkan 16 Mac ini sebagai tarikh pendengaran bagi permohonan kebenaran semakan kehakiman di hadapan Hakim Aliza Sulaiman.
Terrirudin sebelum ini pernah berkhidmat sebagai peguam negara sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada November 2024.
Pelantikannya ke SPK dilaporkan berbeza daripada amalan terdahulu yang lazimnya menyaksikan hakim kanan Mahkamah Persekutuan mengisi jawatan tersebut.
Mengikut Akta SPK 2009, suruhanjaya itu bertanggungjawab mencadangkan calon sesuai untuk pelantikan dan kenaikan pangkat hakim ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Pelantikan hakim kemudiannya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan bahawa siasatan polis berkaitan dakwaan campur tangan kehakiman membabitkan seorang hakim Mahkamah Persekutuan telah ditutup kerana kekurangan bukti.
Sumber dipetik sebagai berkata, siasatan itu dijalankan bagi menilai kemungkinan pelanggaran Akta Rahsia Rasmi 1972, namun tiada individu dikenal pasti sebagai suspek. -MalaysiaGazette
















