Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaul 'Yee Sang' pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA 2026 di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 FEBRUARI 2026

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini dapat memberikan pertumbuhan ekonomi yang mampan kepada negara.

Dalam ucapannya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Tahun Kuda membawa simbolik kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada tahun ini selaras dengan semangat tenaga dan kemajuan yang dikaitkan dengan zodiak berkenaan.

“Tahun Kuda menjadi tahun berapi yang memacu pertumbuhan yang lebih hebat, yang menjadi simbol kencang, bertenaga hebat dan mudah-mudahan memberi prestasi ekonomi yang lebih baik pada tahun ini,” katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Anwar yang ditemani Ahmad Zahid hari ini menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA.

Ketibaan beliau kira-kira pukul 9.30 pagi disambut Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bersama kepimpinan partinya.

Majlis itu turut diserikan kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Anwar dilihat mengambil bahagian dalam upacara menggaul Yee Sang sebelum meluangkan masa menikmati hidangan bersama tetamu.

Sambutan berkenaan menghimpunkan lebih 1,000 tetamu pelbagai kaum yang turut menikmati juadah yang disediakan dalam suasana muhibah.

Majlis berlangsung dalam suasana meriah sebagai simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum sempena perayaan Tahun Baharu Cina. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast