GEORGE TOWN – Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) akan melaksanakan sesi pemeriksaan awam bagi mendapatkan maklum balas berhubung Pindaan Skim Kereta Api Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang Laluan Mutiara melibatkan lanjutan jajaran menghubungkan bahagian pulau dan Seberang Perai.

MRT Corp dalam kenyataan berkata, sesi itu akan berlangsung selama tiga bulan bermula Selasa ini hingga 24 Mei depan bagi memberi peluang kepada orang ramai meneliti serta mengemukakan maklum balas terhadap lanjutan jajaran, lokasi stesen dan butiran projek berkaitan.

Katanya, pindaan skim berkenaan merangkumi beberapa penambahbaikan terhadap skop projek, terutamanya lanjutan jajaran rel merentasi laut kira-kira enam kilometer yang menghubungkan Komtar dan Penang Sentral dengan anggaran masa perjalanan sekitar lapan minit.

“Menerusi lanjutan jajaran ini, kesalinghubungan antara bahagian pulau dan tanah besar akan dipertingkatkan dalam usaha berterusan memperkukuh rangkaian pengangkutan awam di negeri ini.

“Penang Sentral akan dibangunkan sebagai stesen utama di Seberang Perai serta hab pengangkutan multimodal yang mengintegrasikan perkhidmatan feri, rel KTMB dan bas sedia ada, selain memperuntukkan kira-kira 1,000 petak parkir tambahan.

“Melalui hab ini, penumpang akan menikmati kesalinghubungan terus ke destinasi utama seperti KOMTAR, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MRT Corp menjelaskan penstrukturan semula pembangunan Penang South Reclamation (PSR) daripada tiga pulau kepada satu pulau telah membawa kepada penyelarasan semula jajaran asal apabila jajaran sepanjang 3.15 kilometer di PSR serta tiga stesen iaitu A2, A3 dan A4 digugurkan.

Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut jajaran sepanjang 1.5 kilometer di pulau PSR dikekalkan manakala Stesen A1 (PSR-A) diklasifikasikan semula sebagai stesen provisional bagi menyokong pembangunan masa hadapan apabila pertumbuhan penduduk meningkat.

“Selain itu, pindaan skim turut melibatkan penambahan stesen di Penang Sentral dan Bagan Luar (provisional) serta pembinaan sebuah depoh sekunder untuk simpanan kereta api di Tapak Pesta Sungai Dua.

“Secara keseluruhan, LRT Laluan Mutiara akan merangkumi jajaran kira-kira 29.67 kilometer dengan 20 stesen serta dua stesen provisional iaitu PSR-A dan Bagan Luar. Kerja pembinaan telah bermula pada 2025 dan perkhidmatan rel dijangka mula beroperasi pada Disember 2031.

“Selaras Seksyen 85 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, Pemeriksaan Awam itu akan dijalankan dari 24 Februari ini hingga 24 Mei depan dengan MRT Corp membuka reruai di beberapa lokasi utama termasuk Komtar, Penang Sentral dan Stesen KTM Butterworth,” katanya.

Orang ramai yang tidak dapat hadir boleh mengakses maklumat serta bahan projek dan mengemukakan maklum balas secara dalam talian melalui www.mymrt.com.my atau menghubungi talian khidmat pelanggan di 1-800-88-6782 untuk pertanyaan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast