KUALA LUMPUR – Exco Terengganu yang ditahan berhubung dakwaan salah guna wajar digantung atau dicutikan sementara siasatan dijalankan bagi memastikan proses berjalan secara bebas dan tanpa pengaruh.
Jelas Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Aiman Wan Alias, ia kerana isu
bukan sekadar melibatkan individu malah menyentuh budaya tadbir urus dan tahap akauntabiliti pentadbiran.
“Penahanan seorang Exco Kerajaan Negeri Terengganu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa merupakan tamparan serius terhadap kredibiliti kerajaan negeri,” katanya menerusi kenyataan.
Tegasnya lagi, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN)
perlu tampil menjelaskan pendirian rasmi mengenai isu itu sekaligus memperincikan langkah yang akan diambil bagi memelihara integriti pentadbiran negeri.
“Kepimpinan tidak boleh berdiam diri dalam keadaan yang menjejaskan keyakinan rakyat.
“Kerjasama penuh kepada SPRM mesti disertai komitmen terhadap ketelusan dan semakan menyeluruh terhadap projek serta keputusan berkaitan.
“Rakyat Terengganu berhak mendapat pentadbiran yang bersih dan berintegriti. Jawatan awam adalah amanah kepada rakyat, bukan keistimewaan peribadi,” tambahnya.
Semalam, SPRM menahan seorang Exco Terengganu kerana disyaki salah guna kedudukan dengan mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 60-an itu ditahan pada jam 11.15 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman.-MalaysiaGazette
















