Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini menolak usul Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh untuk membahaskan isu pemilikan 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Sdn Bhd melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, tiada keperluan usul tersebut dibahaskan untuk memberi laluan kepada Jawatankuasa Siasatan Khas menyiasat perkara itu tanpa gangguan.

“Saya difahamkan bahawa satu Jawatankuasa Siasatan Khas yang dipengerusikan Peguam Negara telah ditubuhkan bagi melaksanakan siasatan yang terperinci mengenai isu itu.

“Oleh kerana jawatankuasa itu telah pun ditubuhkan dan siasatan akan ataupun sedang dilaksanakan, maka usul Yang Berhormat itu terpaksa saya tolak dan saya telah pun menjawab pada 23 Februari, hari ini.

“Kita memberikan peluang untuk jawatankuasa itu menyiasat supaya tidak ada gangguan yang berlaku terhadap siasatan,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No1) 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Ramkarpal pula berkata, usul tersebut sepatutnya boleh dibahaskan dalam persidangan Dewan Rakyat memandang jawatankuasa itu bukan merupakan mahkamah undang-undang.

“Pada pandangan saya Tuan Speaker, walaupun terdapat satu jawatankuasa yang menyiasat (Azam), ini bukanlah satu court of law pada masa ini.

“Ini hanya satu jawatankuasa yang tidak menghalang Dewan ini dalam membincangkan isu yang mempunyai kepentingan awam.

“Perkara ini telah pun mendapat liputan meluas (media) dan kami menerima berita ini seminggu sebelum Tahun Baharu Cina.

“Isu pemilikan ini sangat mustahak untuk dibahaskan dalam Dewan ini dengan segera, apatah lagi melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Bagaimanapun, Johari meminta ahli Parlimen DAP itu bersabar dan menunggu hasil siasatan jawatankuasa itu sebelum isu itu dibenarkan dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

“Apa juga keputusan itu, mungkin dalam masa terdekat ini, mungkin setelah kita mendapat keputusan, apa-apa juga keputusan yang dicapai oleh jawatankuasa itu, mungkin saya akan membenarkan perbahasan akan berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast