KUANTAN – Penganjuran Cabaran Mara Lasak Pahang 2026 di Felda Chini, Pekan kali ini menyasarkan lebih 1,000 penyertaan meliputi lima kategori yang dipertandingkan.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal, beliau telah menerima maklumbalas memberangsangkan terutama daripada badan beruniform di semua daerah di negeri ini sejak pertama kali penganjuran program itu tahun lepas.
“Tahun lepas disertai 540 orang, tahun ini kita benarkan dan luaskan penyertaan. Ada 11 daerah di Pahang dan mereka akan hantar penyertaan mereka dari setiap daerah. Difahamkan kali ini Ketua Polis Pahang turut menyertainya.
“Bagi edisi kali ini, setiap peserta perlu menamatkan acara larian sejauh 15 kilometer (km) secara berpasukan termasuk melalui denai, mendaki bukit, merentasi ladang kelapa sawit sambil membawa beban seberat 5 kilogram (kg).
“Trek laluan peserta pula dibuat oleh jawatankuasa teknikal berdasarkan kemahiran membaca peta, navigasi darat dan kajian penilaian risiko,” katanya dalam sidang media di Majlis Sukan Pahang, di sini.
Fadzli berkata, Cabaran Mara Lasak Pahang merupakan acara sukan lasak secara berpasukan yang menguji ketahanan fizikal dan mental serta memupuk semangat kerjasama jitu dalam diri setiap peserta.
Katanya, lima kategori penyertaan yang ditawarkan ialah jemputan orang kenamaan (VIP), pasukan beruniform, jabatan dan agensi kerajaan negeri Pahang serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan negeri, penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta di negeri Pahang selain komuniti atau wakil kampung (pengundi DUN Chini).
“Kumpulan pemenang pingat Emas akan menerima RM2,000 bersama medal, pingat perak RM1,500 bersama medal, Gangsa RM1,000 bersama medal. Keempat RM800 bersama medal. Dan kelima RM700 bersama medal untuk setiap lima kategori.
“Selain itu edisi kali ini turut memperkenalkan Anugerah Juara Keseluruhan Mara Lasak Pahang 2.0 iaitu best of the best team daripada keseluruhan pasukan yang bertanding berdasarkan catatan masa. Juara keseluruhan ini bakal membawa pulang tambahan wang tunai berjumlah RM1,000 bersama piala pusingan,” jelasnya lagi.
Program Mara Lasak Pahang 2.0 dijadualkan berlangsung pada 5 April ini jam 7 pagi di padang padang awam Felda Chini 1, Pekan.
Yuran pendaftaran adalah sebanyak RM500 setiap seorang dan pendaftaran telah bermula semalam sehingga tarikh tutup pada 8 Mac ini sebelum 5 petang. – MalaysiaGazette
















