Naib Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia, Datuk Sri Sanjeevan
Naib Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia, Datuk Sri Sanjeevan

 

KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir pihak yang didakwa berlagak sebagai “penyokong nombor satu” di hadapan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi merancang gerakan menjatuhkan kepimpinan di belakang tabir disifatkan sebagai sandiwara politik paling memualkan.

Naib Ketua Bersekutu Bersatu, Sri Sanjeevan Ramakrishnan berkata, sikap bermuka-muka seperti itu bukan sahaja mencalar integriti parti, malah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh pimpinan tertinggi.

“Di hadapan Presiden, bukan main lagi mengaku ‘penyokong nombor satu.’ Tapi di belakang, sibuk menyusun langkah, mengumpul tandatangan, menjual janji dan menabur habuan,” katanya dalam satu kenyataan keras hari ini.

Beliau menyindir perbuatan tersebut sebagai cerminan pepatah lama yang tepat menggambarkan hipokrasi politik.

Menurutnya, jika benar ada ketidakpuasan hati atau perbezaan pendirian, ia sepatutnya disuarakan secara terbuka dan berprinsip, bukannya melalui gerakan sulit yang berbau konspirasi.

“Jika niat itu benar-benar ikhlas, tidak perlu konspirasi. Jika perjuangan itu suci, tidak perlu membeli kesetiaan. Kalau benar tidak sehaluan, berterus teranglah. Itu sikap seorang lelaki sejati,” katanya.

Sri Sanjeevan turut membidas tindakan melaungkan kesetiaan di pentas rasmi namun dalam masa sama merancang penyingkiran di bilik tertutup, menyifatkannya sebagai tindakan tidak bermaruah.

“Tetapi apabila di pentas melaungkan kesetiaan tapi di bilik tertutup merancang penyingkiran. Itu bukan keberanian, itu sandiwara,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun menyifatkan Presiden parti sebagai seorang yang terlalu baik dan sentiasa berhusnuzon terhadap semua pihak, walaupun wujud gerakan tersusun dalam gelap.

“Malangnya Presiden yang ada hari ini terlalu baik, husnuzon bukan kepalang. Disangka semua orang sehaluan, rupa-rupanya ada yang menyusun langkah dalam gelap.

“Namun sejarah juga mengajar kita, ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.’ Perjuangan ini bukan milik mereka yang pandai berkomplot. Ia milik mereka yang setia dan berprinsip,” katanya.

Sri Sanjeevan bagaimanapun tidak menamakan mana-mana individu yang dimaksudkan dalam kenyataan tersebut.

Namun, bekas Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudinketika berucap pada Taklimat Halatuju dan Reset Politik di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) berkata, beliau adalah penentang nombor satu kepada presiden.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas beliau dipecat daripada Bersatu.

Sedangkan, semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, Hamzah berkata, beliau adalah orang nombor satu yang menyokong Muhyiddin selaku Presiden Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast