13 individu termasuk tiga penguatkusa direman disyaki mendalangi kartel tonto berkaitan aktiviti rasuah bagi melindungi pemilik-pemilik lori yang beroperasi di seluruh Semenanjung.

KUALA LUMPUR – Seramai 13 individu termasuk tiga anggota penguat kuasa direman disyaki mendalangi kartel Tonto berkaitan aktiviti rasuah bagi melindungi pemilik-pemilik lori yang beroperasi di seluruh Semenanjung.

Perintah reman selama tiga hari sehingga 27 Februari terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, 12 suspek melibatkan lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga  50-an telah ditahan di antara 9 pagi hingga 10 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan sekitar Lembah Klang.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin  SPRM berkata, semalam. satu operasi bersepadu telah dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan serbuan ke atas 14 kediaman dan 18 buah syarikat sekitar Lembah Klang.

Katanya, kesemua premis terbabit disyaki menyimpan segala dokumen berkaitan pemberian rasuah kepada ejen dan orang tengah yang dipercayai sejak tahun 2013 namun dipercayai terdapat syarikat-syarikat, ejen dan orang tengah yang telah menjalankan kegiatan itu sejak 13 tahun lalu.

“Kesemua suspek disyaki menjadi ejen dan ‘orang tengah’ yang menawarkan dan memberi rasuah antara RM100 hingga RM4,500 setiap bulan kepada anggota-anggota penguat kuasa JPJ Kuala Lumpur dan Selangor.

“Ia sebagai balasan untuk melindungi dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori mereka di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Sindiket ini menggunakan modus operandi dengan memasukkan wang rasuah ke dalam akaun keldai dan kemudiannya akan dikeluarkan oleh anggota penguat kuasa yang terlibat,” katanya.

Dalam serbuan semalam, SPRM telah membekukan sebanyak 71 akaun yang terdiri daripada 53 akaun individu dan 18 akaun syarikat yang berjumlah kira-kira RM4 juta .

Selain itu, SPRM turut menyita 26 unit telefon bimbit, satu unit kad bank, 32 unit walkie talkie, satu unit bateri walkie talkie, 13 unit kereta, empat  unit barangan kemas, wang tunai berjumlah kira-kira RM330,000; 25 juta rupiah (Indonesia) dan SGD$7,000 (dolar Singapura).

Saiful berkata, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast