M Partiben bersama anak mangsa, Surya pada sidang media hari ini.

KUALA LUMPUR – Selepas hampir dua tahun tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India menggemparkan negara – keluarga mendiang G. Vijayaletchumy – masih belum memperoleh sijil kematian seperti dokumen asas yang menjadi kunci kepada tuntutan pampasan.

Peguam yang mewakili keluarga mangsa, M. Partiben mendedahkan, kelewatan itu menyebabkan sebarang proses pampasan tidak dapat dimulakan walaupun insiden berkenaan berlaku pada 23 Ogos 2024.

“Status mangsa masih diklasifikasikan sebagai orang hilang. Tanpa sijil kematian, pampasan tidak boleh diproses. Keluarga tersepit dalam keadaan tidak menentu,” katanya kepada media hari ini.

Menurut beliau, surat rasmi telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 24 Februari lalu bagi memohon pengeluaran sijil kematian dengan kadar segera.

Katanya, keluarga mangsa turut bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa anggota Kabinet bagi menjelaskan keadaan sebenar namun sehingga kini tiada pengesahan berhubung jumlah pampasan yang bakal diberikan.

“Bantuan awal RM30,000 yang disalurkan sebelum ini hanyalah sumbangan sementara. Ia tidak boleh dianggap sebagai pampasan penuh terhadap kehilangan nyawa,” tegasnya.

Partiben memaklumkan keluarga mangsa kini berdepan tekanan kewangan serius dan dikategorikan dalam jalur kemiskinan tegar selain perlu berulang-alik dari Andhra Pradesh, India ke Malaysia untuk menguruskan tuntutan.

Beliau berkata, ketiadaan sijil kematian turut menyulitkan urusan kewangan di India termasuk penyelesaian pinjaman dan komitmen bank.

“Institusi kewangan di sana memerlukan dokumen rasmi daripada Malaysia. Tanpa sijil kematian, semua urusan tergantung,” jelasnya lagi.

Mengulas kemungkinan tindakan undang-undang, Partiben berkata, pihaknya masih memberi ruang kepada kerajaan untuk menyelesaikan perkara itu secara perbincangan.

“Kami belum memfailkan saman. Namun jika tiada perkembangan positif, tindakan undang-undang akan dipertimbangkan,” katanya.

Dalam tragedi itu, Vijayaletchumy, 48, yang sedang bercuti di Malaysia dilaporkan terjatuh ke dalam lubang sedalam kira-kira lapan meter yang tiba-tiba terbuka ketika beliau berjalan di kawasan berkenaan.

Operasi mencari dan menyelamat dihentikan selepas sembilan hari atas faktor keselamatan. Pada 1 September 2024, Kabinet dilaporkan akan membincangkan cadangan pampasan kepada keluarga mangsa.

Sehingga hari ini, keluarga mendiang masih menunggu bukan sahaja pampasan, tetapi pengiktirafan rasmi bahawa tragedi itu benar-benar telah meragut nyawanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast