Firdaus Wong.

KUANTAN – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendakwa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang memijak al-Quran baru-baru ini  merupakan seorang mualaf.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Firdaus Wong mengakui beliau mengislamkan lelaki itu pada 20 April 2025 dan nama Islamnya ialah Muhammd Zain.

“Dia budak yang baik. Sopan santun dan lembut tutur katanya. Dia hubungi saya di Instagram & mesej bertalu-talu ‘insist’ dan kejar saya untuk meng Islamkan dia,” katanya.

Tangkap layar hantaran Facebook Firdaus Wong

 

Firdaus mengakui dia  terkejut dengan perkembangan terkini pelajar itu yang didapati membuat hantaran jelik memijak kitab suci al-Quran dan kenyataan menghina agama Islam baru-baru ini.

Beliau turut menyuarakan hasratnya untuk memahami tindakan pelajar itu, sekali gus membantunya.

“Adakah dia dihasut, diprovokasi atau perkara lain? Saya juga ingin memahami dan membantu

“Status ini bukan membelanya. Dia harus dihukum atas kesalahannya tanpa mengira dia Muslim atau bukan,” jelasnya lagi.

Penjelasan Firdaus itu turut menimbulkan persoalan daripada netizen yang bertanya mengapa baru hari ini perkara itu didedahkan sedangkan kejadian itu sudah seminggu berlalu.

Ada juga netizen yang bertanya sama ada pendedahan berkenaan adalah ‘plot twist’ (kejutan jalan cerita), namun rata-rata mahu individu berkenaan dihukum atas perbuatannya.

Pada 25 Februari lalu, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.

Ia susulan tular sekeping gambar memaparkan tindakannya memijak al-Quran dan hantaran menghina Nabi Muhammad di laman media sosialnya.

Pemuda itu juga dilaporkan telah membuat hantaran permohonan maaf atas tindakan tersebut, selain bapanya turut membuat laporan polis susulan bimbang terhadap keselamatan anaknya itu.

Dia direman dari 25 Februari sehingga 28 Februari lalu sebelum disambung sehingga esok (3 Mac) bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara hari ini dalam kenyataannya memaklumkan lelaki itu akan dituduh Mahkamah pada hari esok di bawah seksyen 295 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast